spread
UTAMA | MAKLUMAT | Berita | Perintah Ulung PTD Ke-26
07
Jan
Perintah Ulung PTD Ke-26
Ditulis oleh www.btdmonline.net   

07011703Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim dalam perutusan Perintah Ulungnya menyeru kepada segenap lapisan warga Tentera Darat untuk mengorak langkah bersama beliau supaya TD kekal relevan sebagai sebuah ketumbukan utama benteng pertahanan negara sejajar dengan aspirasi negara dan Angkatan Tentera Malaysia agar mencapai kejayaan serta kegemilangan demi kedaulatan bumi bertuah berpandukan lima teras berikut:

Pertama – Perkasakan Kesiagaan Angkatan.

Perkembangan senario keselamatan antarabangsa dan rantau ini telah mencorakkan lanskap strategik keselamatan negara. Keadaan ini menuntut Tentera Darat agar memperkasakan kesiagaannya bagi menghadapi segala bentuk ancaman dan cabaran dalam pelbagai dimensi sama ada tradisional mahupun bukan tradisional. Oleh yang demikian, saya berkehendakkan kesiagaan Tentera Darat diperkasakan melalui pembangunan modal insan, doktrin dan angkatan (Force Development). Tentera Darat mampu membina satu ketumbukan yang ampuh melalui latihan individu dan kolektif yang praktikal, realistik dan berkesan. Pembangunan doktrin dan manual hendaklah terus dibangunkan seiring dengan perolehan peralatan-peralatan baharu serta perubahan corak peperangan masa kini dan masa hadapan. Pembangunan kedua-dua aspek ini mestilah diuji dan dinilai keberkesanannya menerusi latihan yang berterusan di setiap jajaran pemerintahan Tentera Darat. Pembangunan modal insan dan doktrin hendaklah didokong dengan perancangan pembangunan angkatan yang mampan. Justeru itu, Rancangan Pembangunan Strategik Tentera Darat Army 4NextG perlu diteruskan bagi memastikan usaha untuk memperkasakan kesiagaan Tentera Darat dapat direalisasikan di masa hadapan.

Kedua – Pengukuhan Kesepaduan Angkatan (Cohesion).

Kita semestinya berbangga kerana ketumbukan Tentera Darat pada hari ini berdiri teguh siaga kerana sikap warganya yang sentiasa bersatu dalam melaksanakan tugas mahupun ketika menghadapi pelbagai cabaran. Kesatuan ini memerlukan pengukuhan kesepaduan angkatan yang bertunjangkan kesetiaan, kepatuhan, semangat setiakawan dan sifat kepunyaan (Sense of Belonging) terhadap nilai sepunya (Shared Value) yang dijunjung oleh Tentera Darat. Etos ketenteraan ini perlu disuburkan melalui sistem rejimental supaya kesepaduan yang sedia terwujud dibendung dari perpecahan. Tentera Darat sebagai sebuah keluarga besar memerlukan barisan kepimpinan yang setia kepada anggota bawahannya serta warga yang patuh kepada arahan dan peraturan yang menunjangi disiplin serta kesepaduan kita. Oleh yang demikian, saya ingin memperkenalkan pada hari yang penuh bermakna ini slogan “Tentera Darat Satu, Kerana Bersatu”.

Ketiga – Peneguhan Profesionalisme.

Bagi memenuhi aspirasi rakyat yang sentiasa menagihkan keamanan berterusan menerusi kewujudan Tentera Darat, setiap warganya perlu bersikap profesional. Profesionalisme di dalam Tentera Darat mestilah berdasarkan kepada profil keperajuritan (Soldier’s Profile) yang memerlukan setiap warganya mempunyai perawakan fizikal yang unggul, berketerampilan dan berkemahiran tinggi. Peneguhan ini dapat dimanifestasikan melalui peningkatan pendidikan dan latihan secara berterusan dan efektif yang mampu menjana keupayaan dan kapasiti warga Tentera Darat dalam menangani cabaran dari pelbagai spektrum. Teras ini perlu digemblengkan secara holistik oleh setiap lapisan pemerintahan untuk sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas yang diamanahkan kepada Tentera Darat. Sesungguhnya peneguhan profesionalisme ini akan menambah keyakinan rakyat dan negara terhadap keupayaan Tentera Darat dalam menggalas tugas teras mempertahankan kedaulatan tanah air serta memberi sumbangan terhadap pembangunan negara.

Keempat – Pemantapan Pengurusan Organisasi.

Kepimpinan sebelum ini telah berjaya memacu Tentera Darat sebagai satu angkatan yang mempunyai pengurusan organisasi yang mantap, berwibawa dan diiktiraf umum. Kecemerlangan ini tidak seharusnya membuat kita leka dan selesa. Sebaliknya, ia hendaklah dijadikan pemangkin untuk kita terus berusaha menggarap kejayaan yang lebih cemerlang. Sesungguhnya mengekalkan kecemerlangan ini lebih sukar dari mencapainya. Oleh yang demikian, saya berkehendakkan agar aspek pemerintahan, kepimpinan dan pengurusan yang berwibawa dihayati supaya setiap langkah yang diambil adalah berteraskan integriti dan ketelusan. Amalan ini hendaklah diterapkan secara komprehensif bagi mencegah timbulnya dorongan tindakan di luar batasan peraturan dan penyalahgunaan kuasa. Ianya boleh dikawal selia melalui metod menyemak dan mengimbang (Checks and Balances) di setiap formasi. Setiap lapisan kepimpinan perlu sentiasa bersedia mendepani cabaran pengurusan organisasi dengan mengoptimumkan sumber yang terhad tanpa menjejaskan tugas hakiki Tentera Darat. Disamping itu, amalan inovasi serta kreativiti perlu dibudayakan supaya segala sumber atau aset dapat diuruskan dengan berhemah, perkhidmatan diberikan dengan berkualiti dan risiko yang memudaratkan mampu dielakkan. Maka, setiap lapisan pemerintahan dipertanggungjawabkan untuk mengamalkan urus tadbir yang baik (Good Governance) demi mencapai pemantapan pengurusan organisasi Tentera Darat secara menyeluruh.

Kelima – Peningkatan Kualiti Hidup.

Tentera Darat akur akan keperluan meningkatkan kualiti hidup warganya sebagai salah satu tanggungjawab pemerintahan (Command Responsibility) bagi mengekalkan moral, semangat dan motivasi warganya. Saya percaya kualiti hidup yang sempurna akan mendorong warga Tentera Darat supaya lebih fokus dan komited dalam kerjaya yang mulia ini. Keutamaan saya adalah untuk memastikan peningkatan infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif di tempat kerja, penginapan anggota dan rumah keluarga. Tidak dilupakan juga, kualiti hidup perlu merangkumi perkhidmatan yang diberikan kepada anggota dan keluarga Tentera Darat. Dalam nada yang sama, saya juga berkehendakkan agar budaya senggaraan disematkan dalam setiap jiwa warga Tentera Darat bagi memastikan kemudahan-kemudahan yang disediakan sentiasa terpelihara, dilanjutkan tempoh penggunaanya dan dikurangkan kos penyelenggaraannya. Di samping itu, program-program yang sistematik dan terancang hendaklah dilaksanakan bagi memastikan kualiti hidup keluarga serta pendidikan anak-anak anggota sentiasa terjamin. Tentera Darat akan sentiasa bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan (Stakeholders) untuk mengadakan program-program yang berupaya meningkatan kualiti hidup warganya.