spread
UTAMA | MAKLUMAT | Berita | Enam Dekad KOD Bersama TD
21
Jul
Enam Dekad KOD Bersama TD
Ditulis oleh www.btdmonline.net   

27071701

KUALA LUMPUR: “Hari ini hampir enam dekad usia Kor Ordnans Diraja (KOD) sebagai pasukan logistik kepada Tentera Darat (TD) dan telah berjaya membuktikan keupayaan kita mendorong dasar TD sebagai benteng pertahanan dan keutuhan negara agar sentiasa terus maju kehadapan untuk menyampaikan mesej bahawa kita masih relevan dalam apa jua senario pada masa kini,” kata Pengerusi KOD, Mej Jen Dato’ Pahlawan Mohd Razif Hj Idris semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Sempena Hari KOD Ke-60 di Padang Kawad Kem Batu Kentomen pada 21 Jul 2017.

Selain itu, beliau menyeru semua peringkat warga KOD sentiasa mantap secara fizikal, mental, spiritual dan intelektual dengan menjalani latihan berterusan secara sistematik serta agresif dan terus menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan perkembangan semasa dunia pada masa kini dimana KOD secara langsung terlibat dengan tiga teras utama MINDEF iaitu teras kesiapsiagaan, teras keselamatan dan teras kebajikan yang mendukung penuh hasrat oleh pucuk pimpinan angkatan tentera dalam memperkasakan pertahanan negara dengan melaksanakan peranan KOD dalam organisasi TD melalui program pembangunan modal insan, infrastruktur dan doktrin.

Beliau juga mengatakan penubuhan baharu 21 Kumpulan Logistik Gerup Gerak Khas (GGK) secara tidak langsung menyumbang kepada pembesaran kor dari segi pertambahan penjawatan dan memberi bantuan logistik kepada GGK dibawah satu bumbung.

Sejarah awal penubuhan KOD bertujuan untuk memberikan bantuan kepada Tentera British mempertahankan Tanah Melayu daripada pencerobohan Tentera Jepun yang mana ketika itu bantuan logistik atau dijuruskan sebagai bantuan Ordnans dilaksanakan oleh The Royal Army Ordnance Corps (RAOC) dari Tentera Darat British dan pada Ogos 1939, pasukan ke 7th Ordnance Field Depot (OFD) India Army Corps telah dihantar ke Tanah Melayu bagi memperkuatkan bantuan Ordnans terhadap keseluruhan operasi dan pentadbiran tentera British ketika itu.

Dengan pembesaran Rejimen Askar Melayu kepada tujuh buah batalion dan peningkatan stor Rejimen Askar Melayu setelah perang tamat, pasukan Ordnans telah ditubuhkan secara rasmi pada 17 Jul 1946 di Port Dickson dibawah pemerintahan dan kawalan Tentera British untuk memberikan bantuan Ordnans kepada keseluruhan pasukan tentera Tanah Melayu yang kemudiannya disatukan dengan lain-lain pasukan logistik, dalam bulan April 1957 dengan nama Army Service Corps (ASC).

Berikutan dengan penubuhan Tentera Laut dan Tentera Udara Malaysia, ASC telah ditukar nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) pada 27 Mei 1958 dan setelah AFMC dimansuhkan pada 9 Apr 1965, Kor ini dengan rasminya dinamakan Kor Kelengkapan Malaysia dan telah melalui beberapa kali pertukaran nama sehinggalah pada 7 Jun 1997 Kor Ordnans telah mendapat gelaran Diraja daripada Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke Sepuluh dan kemudiannya dikenali sebagai Kor Ordnans Diraja (KOD) sehinggalah sekarang.

Acara diteruskan dengan penyampaian Lencana Kehormat Kejuruteraan Peluru, penyampaian Sijil Misi PBB MALBAT 850-3 Lubnan dan Sijil Penghargaan Pengerusi KOD serta penyampaian cenderahati kepada enam orang mantan Sarjan Mejar Rejimen (SMR) KOD.

Perbarisan ini melibatkan enam detasmen terdiri dari 21 pegawai dan 247 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Abdul Haadi Aid dan diiringi oleh Brass Band Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD).

Turut hadir Ketua Staf Perkhidmatan Markas Pemerintahan Medan Barat, Brig Jen Dato’ Hj Abdul Khalid Hamzah, Pegawai Memerintah 94 Depot Pengkalan Peluru, Brig Jen Dato’ Azlan Othman, Pegawai Penyelidik Q54, Brig Jen Hj Mustafa Hj Omar dan Pengarah KOD, Kol Baharudin Jamin.

Kemaskini pada Isnin, 31 Julai 2017 11:06