spread
MAIN | INFORMATION | News | Ucapan Aidilfitri Panglima Tentera Darat Tahun 2017
23
Jun
Ucapan Aidilfitri Panglima Tentera Darat Tahun 2017
Written by Tadbir Urus Portal   

ucapan raya

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1438H/2017M
PANGLIMA TENTERA DARAT

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Aidilfitri dan Salam 1 Malaysia

Pertamanya, saya rafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri 1438H/2017M dalam suasana aman dan sejahtera. Saya berdoa semoga Ramadhan yang berlalu dapat menjana dan membarakan ketaqwaan dalam diri setiap perajurit Tentera Darat untuk sentiasa taat dan patuh segala perintah Allah. Seterusnya bulan Syawal yang tiba kita sambutnya dengan kemenangan kerana berjaya kembali kepada fitrah.

Saudara dan saudari sekalian,

Pada kesempatan Perutusan Hari Raya ini, saya ingin menyentuh beberapa perkara sebagai panduan berguna kita bersama untuk menentukan Tentera Darat terus unggul mendepani spektrum cabaran yang pelbagai.

Bersempena ketibaan bulan Syawal ini, ingin saya tegaskan untuk kita sama-sama meneruskan tugas dan tanggungjawab dalam memelihara kedaulatan negara. Setinggi-tinggi syukur saya rafakkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana Tentera Darat Malaysia terus kekal relevan dan diyakini rakyat seluruhnya. Keyakinan yang diberi oleh rakyat ini telah membuktikan segala tugas dan tanggungjawab Tentera Darat telah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seterusnya membolehkan rakyat seluruhnya merayakan Aidilfitri dengan perasaan yang tenang, selamat dan dalam suasana penuh kegirangan.

Kita seharusnya bersyukur kerana negara kita masih berada dalam lembayung peliharaan Allah S.W.T, tidak sepertimana negara-negara seperti Syria, Iraq, Afghanistan malahan beberapa negara jiran kita yang kebelakangan ini dikejutkan dengan kejadian pengeboman yang didalangi oleh militan Daesh/Islamic State (IS). Tindakan terkutuk ini telah meragut puluhan nyawa yang tidak berdosa serta mencederakan ratusan yang lain. Ini benar-benar menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah (kesederhanaan).

Lantaran itu, bersempena dengan hari yang mulia ini, marilah kita terus berdoa dan berusaha agar kesejahteraan negara yang dinikmati ketika ini terhindar daripada sebarang ancaman luaran mahupun dalaman. Marilah sama-sama kita pelihara keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara tanpa rasa ragu-ragu dan gentar agar negara kita Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Saudara dan saudari sekalian,

Marilah sama-sama kita perkukuhkan kesepaduan angkatan. Dalam konteks ini, saya amat menekankan nilai-nilai kesetiaan, kepatuhan, semangat setiakawan dan sifat kepunyaan. Nilai-nilai ini adalah tunjang kepada kesepaduan angkatan yang harus digarap oleh seluruh warga Tentera Darat agar ia tidak dicemari oleh budaya tidak sihat yang boleh memecah-belahkan kita. Di atas semangat TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU, marilah kita perkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang di kalangan keluarga besar Tentera Darat kerana ia adalah asas kekuatan dan kesepaduan di dalam organisasi serta menutup segala ruang perpecahan.

Seterusnya saya mahukan agar kita sentiasa fokus kepada setiap amanah yang diberi. Menyentuh perkara ini, saya akui akan situasi warga Tentera Darat yang bertugas tidak kira siang ataupun malam, di serata ceruk negara mahupun di perbatasan termasuklah yang berada di luar negara seperti di bumi Lubnan dan juga di Mindanao. Saya percaya, rakyat Malaysia juga turut menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh seluruh warga Tentera Darat ini. Selaku Panglima Tentera Darat, saya amat bangga dengan pengorbanan dan khidmat bakti yang telah ditunjukkan. Tugasan ini merupakan satu amanah yang mesti dipikul dengan rasa penuh tanggungjawab dan komited agar kewujudan kita terus diyakini rakyat seluruhnya. Begitu juga dengan mereka yang bertugas di kem atau pasukan, ia juga satu amanah yang perlu disempurnakan.

Justeru, saya berharap agar setiap lapisan warga Tentera Darat yang bertugas di Hari Lebaran ini, tidak kira di mana sahaja berada untuk terus kekal fokus kepada bidang tugas yang diamanahkan. Saya faham dan sedar akan perasaan saudara-saudari lebih-lebih lagi tatkala menjelangnya sambutan Hari Lebaran ini yang tidak dapat disambut bersama yang tersayang. Namun harus diingat, kepentingan kepada negara adalah melebihi dari kepentingan peribadi.

Saudara dan saudari sekalian,

Dalam menyambut hari Lebaran ini, saya berkehendakkan setiap warga Tentera Darat senantiasa mengutamakan aspek keselamatan dan amalkan perbelanjaan secara berhemah. Saban hari kita telah didedahkan dengan berita-berita berkaitan kecelakaan ataupun kemalangan yang antara faktor utama adalah disebabkan kelalaian manusia. Kes sebegini turut melibatkan sebilangan kecil warga Tentera Darat meskipun pelbagai kaedah dan formula untuk mengatasi permasalahan ini telah dikongsi sama ada menerusi media sosial, media massa dan juga media cetak. Justeru, bagi menikmati kemeriahan Syawal ini, saya menyeru kepada semua warga Tentera Darat yang ingin pulang ke kampung agar lebih berwaspada semasa berada di atas jalan raya dan sentiasa menjaga keselamatan diri serta keluarga. Dalam masa yang sama, keselamatan kem, rumah, peralatan dan harta pasukan juga perlu dipertingkatkan. Jangan kita berikan ruang walau seinci kepada kealpaan kerana ia pasti akan membawa padah. Sesungguhnya mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Saya mendoakan pada warga Tentera Darat yang akan pulang ke kampung halaman selamat tiba, menyambut Hari Lebaran dan selamat pulang ke pasukan nanti. Insha Allah.

Dalam keghairahan sambutan Aidilfitri ini juga, saya nasihatkan kepada seluruh warga Tentera Darat untuk terus istiqamah dalam berbelanja. Kemeriahan dalam menyambut Aidilfitri tidak semestinya memerlukan perbelanjaan secara besar-besaran. Berbelanjalah mengikut kadar kemampuan, berhemah dan elakkan pembaziran.

Akhir kata, saya dan keluarga serta barisan kepimpinan TD mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga Tentera Darat serta ahli keluarga. Saya berdoa dan berharap agar Aidilfitri kali ini akan memberikan lebih kebahagiaan dan kesempurnaan kepada semua. Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
“TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU”

JENERAL DATO' SRI ZULKIPLE BIN HJ KASSIM
PANGLIMA TENTERA DARAT

Last Updated on Friday, 23 June 2017 08:49