spread
MAIN | INFORMATION | News | 38 Tahun Jasa Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman Dihargai
27
Jul
38 Tahun Jasa Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman Dihargai
Written by www.btdmonline.net   

31071701

PAHANG: Seramai 18 pegawai dan 211 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Risik Diraja (KRD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman  di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 27 Jul 2017.

Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri dari lima detasmen yang diketuai oleh Lt Kol Muhd Harith Promwichit Abdullah bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 38 tahun 4 bulan berkhidmat di dalam ATM amnya dan TD khasnya.

Dalam ucapannya beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.

“Percayalah, profesion ketenteraan amat baik, justeru kerjalah dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas demi mencari rezeki yang halal untuk keluarga kerana dunia diluar lebih mencabar dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, eloklah terus berada di dalam ATM selagi yang boleh,” tegas beliau.

Pada masa yang sama PTD turut memberikan ucapan balas dengan mengatakan beliau berbangga dan berterima kasih kepada Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman bagi pihak TD diatas perkhidmatan serta jasa yang telah dicurahkan dengan penuh kesetiaan dan pergorbanan yang tanpa berbelah bahagi.

“Saya yakin sebagai seorang pegawai kanan, beliau telah mencapai satu tahap yang amat membanggakan dan banyak kebaikan diserapkan di dalam perkhidmatan  yang mana suatu ketika dahulu beliau pernah menjadi anak murid saya ketika saya menjadi jurulatih dan kini lihatlah kejayaan beliau yang harus diikuti oleh generasi kini,” kata PTD.

Menyentuh sedikit latar belakang beliau, anak watan Johor yang dilahirkan pada 25 Sep 1957 dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkahwinan bersama Datin Azizah Jais dan menerima latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhust, United Kingdom selama dua tahun lalu ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dimana unit pertama beliau ialah 20 RAMD.

Turut hadir Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hj Hussin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dan Pengarah KRD, Kol Mahmud Ahmad.