spread
MAIN | INFORMATION | News | Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-36
12
Aug
Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES UA Ke-36
Written by www.btdmonline.net   

14081703

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V iaitu Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Awam (PALAPES UA) Ke-36 melibatkan 1,832 Pegawai KAdet PALAPES UA yang terdiri daripada 755 Pegawai Kadet Lelaki bersama 1,076 Pegawai Kadet Wanita dari 18 universiti awam seluruh negara di Padang Kawad Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam pada 12 Ogos 2017.

Bertemakan Mahasiswa Perkasa Aset Keteguhan Negara, Istiadat pentauliahan dimulai dengan perbarisan pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES dan penyampaian pedang kepada 33 Pegawai Kadet Terbaik setiap PALAPAES UA serta penyampaian watikah tauliah yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Dalam titahnya, baginda menyeru kepada semua Pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan supaya menonjolkan diri dan sentiasa bersikap positif bagi mengekalkan kredibiliti sekaligus mengangkat martabat angkatan tentera pada kacamata masyarakat serta berani menegakkan kebenaran dan pada masa sama, sentiasa memperbaiki diri dan siap sedia menerima teguran.

“Beta berharap agar graduan-graduan yang telah diterapkan melalui latihan ketenteraan di PALAPES akan menjadi warganegara yang berkualiti dan diharap akan memberi nilai tambah kepada negara dan bangsa serta usaha-usaha terus ditingkatkan bagi menarik lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi dari perlbagai kaum untuk mengikuti program ini sekaligus meningkatkan lagi semangat muhibah antara kaum melalui latihan yang berteraskan espirit de corps,” titah baginda.

Sebaik sahaja berakhirnya istiadat perbarisan, Pegawai Kadet Terbaik setiap universiti diperkenalkan kepada Seri Paduka Baginda dalam Majlis Ramah Mesra di Dewan Agung Tuanku Canselor.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Naib Canselor UiTM, Kol (K) Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said.