| Profile Timbalan Panglima Tentera Darat |
|
Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Setelah menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau telah melanjutkan pengajian di Officer Cadet School, Portsea, Australia dan ditauliahkan sebagai Lt Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981. Sepanjang karier, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah melakukan tugas-tugas pemerintahan serta staf di pasukan dan markas formasi. Sebagai Ketua Platun dan kemudiannya sebagai Ketua Kompeni, beliau pernah terlibat secara langsung bagi memerangi ancaman Komunis di sempadan tanah air. Satu pencapaian besar kepada Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi adalah apabila beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1995. Antara beberapa tugas utama yang pernah disandang ialah Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Tentera Darat, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan di Markas Tentera Darat, Panglima 11 Briged, Panglima 3 Divisyen dan kemudiannya dinaikkan ke pangkat Lt Jen pada 31 Okt 2009 bagi menjawat jawatan Panglima Medan Tentera Darat. Beliau seterusnya telah diamanahkan untuk memegang jawatan Timbalan Panglima Tentera Darat pada 1 Ogos 2011. Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah mengikuti pelbagai kursus profesional di dalam dan luar negara. Beliau mempunyai kelulusan Diploma in Training and Development (Lancaster), Diploma in International Relations (Lancaster), Master in International Relations and Strategic (Lancaster) dan Master of Strategic (USAWC). Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi mempunyai tiga orang cahayamata bersama isteri Datin Seri Noor Akmar bte Yaacob. Hobi beliau ialah membaca dan bermain golf. |
| Kemaskini pada Jumaat, 20 Januari 2012 20:30 |

















