23 September 2019
Kemaskini Akhir: 13 September 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

huttd851BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

ASSLAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

SALAM SEJAHTERA, SALAM 1 ANGKATAN DAN SALAM NEGARAKU SEHATI SEJIWA.

ALHAMDULILLAH, SAYA RAFAKKAN RASA SYUKUR KE HADRAT ALLAH SUBHANAHU WATA’ALA, KERANA KITA TELAH BERJAYA MENGHARUNGI 85 TAHUN KEWUJUDAN TENTERA DARAT SEBAGAI SEBUAH KELUARGA BESAR YANG BERSATU. KEJAYAAN TENTERA DARAT PADA HARI INI SUDAH TENTUNYA ADALAH HASIL TITIK PELUH SERTA PENGORBANAN SELURUH WARGANYA. JUSTERU, SELAKU PANGLIMA TENTERA DARAT, SAYA UCAPKAN SYABAS DAN TAHNIAH KEPADA SETIAP ANGGOTA WARGA TENTERA DARAT DI ATAS KHIDMAT BAKTI DAN PENCAPAIAN YANG TELAH DILAKAR HINGGA KE HARI INI.

SAYA YAKIN, KEBERADAAN KETUMBUKAN TENTERA DARAT PADA HARI INI SENTIASA DIYAKINI DAN DISAMBUT BAIK OLEH RAKYAT SELURUHNYA DEMI MENENTUKAN KEHARMONIAN, KEAMANAN DAN KEDAULATAN NEGARA SENTIASA TERPELIHARA.

KEUNGGULAN ORGANISASI KITA PADA HARI INI ADALAH LEGASI YANG DIWARISI DARI KECEMERLANGAN KEPIMPINAN DAN SELURUH WARGANYA YANG TERDAHULU. PENCAPAIAN DAN HALA TUJU YANG DITERAPKAN DARI TAHUN KE TAHUN TELAH MEMBAWA TENTERA DARAT KE TAHAP DI MANA KITA BERADA PADA HARI INI YANG MANA TURUT DIKENALI DI PERSADA DUNIA. ATAS DASAR ITU, SAYA SERTA SELURUH WARGA TENTERA DARAT MERAKAMKAN JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA KESEMUA MANTAN-MANTAN PANGLIMA TENTERA DARAT YANG TELAH MENABUR JASA DAN BAKTI DALAM MEMACU DAN MENCORAKKAN KEJAYAAN TENTERA DARAT SEJAK 85 TAHUN KEWUJUDANNYA.

DALAM NADA YANG SAMA, UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH JUGA SAYA PANJANGKAN KEPADA PARA VETERAN DARI SETIAP PANGKAT YANG TELAH SAMA-SAMA BERJUANG DEMI NEGARA KITA, MALAYSIA. SEGALA PENGORBANAN DAN KHIDMAT BAKTI YANG TELAH DICURAH DENGAN TULUS IKHLAS TURUT SAMA-SAMA MEMACU TENTERA DARAT KE ARAH YANG BENAR-BENAR MANTAP DAN KREDIBEL. DAN INI TURUT DIAKUI OLEH RAKYAT SELURUHNYA BERDASARKAN KEPADA PENERIMAAN MEREKA AKAN KEWUJUDAN KITA.

TURUT TIDAK DILUPAKAN ADALAH SUMBANGAN BESAR YANG TELAH DICURAHKAN OLEH MANTAN-MANTAN PENGERUSI JEMAAH TERTINGGI BAKAT DARAT YANG TURUT SAMA MEMACU ORGANISASI BAKAT HINGGA MAMPU BERADA PADA KELASNYA YANG TERSENDIRI PADA HARI INI. ORGANISASI YANG MENJADI PENDAMPING KEPADA KETUMBUKAN TENTERA DARAT INI DILIHAT CEMERLANG SELARAS DENGAN MATLAMAT PENUBUHANNYA. KECEMERLANGAN INI SEMESTINYA BERTITIK MULA DARI KEPIMPINANNYA YANG TERDAHULU. JUSTERU, SAYA MEWAKILI PENGERUSI JEMAAH TERTINGGI BAKAT DARAT MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK SEKALI LAGI MERAKAMKAN UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA KESEMUA MANTAN-MANTAN PENGERUSI JEMAAH TERTINGGI BAKAT DARAT YANG TELAH SAMA-SAMA MENCORAKKAN ORGANISASI BAKAT DARAT INI HINGGA MAMPU BERADA PADA TAHAP YANG MEMBANGGAKAN.

PARA PERWIRA, BINTARA, PETANDA DAN PERAJURIT SEKALIAN,

ACARA PADA HARI YANG BERMAKNA INI TURUT DIHADIRI OLEH:

  • YANG BERBAHAGIA LT JEN DATO’ SERI PANGLIMA HJ AHMAD HASBULLAH BIN HJ MOHD NAWAWI, TIMBALAN PANGLIMA TENTERA DARAT DAN ISTERI, YANG BERBAHAGIA DATIN SERI NOOR AKMAR BINTI YAACOB.
  • YANG BERBAHAGIA LT JEN DATUK AZIZAN BIN MD DELIN, PANGLIMA MEDAN BARAT TENTERA DARAT DAN ISTERI, YANG BERBAHAGIA DATIN RASHIDAH BINTI ABDUL RAHIM.
  • YANG BERBAHAGIA LT JEN DATO’ WIRA MOHD ZAKI BIN HJ MOKHTAR, PANGLIMA MEDAN TIMUR TENTERA DARAT DAN ISTERI, YANG BERBAHAGIA DATIN WIRA NORAIHAN BINTI IBRAHIM.
  • YANG DIKASIHI ISTERI SAYA, PUAN SRI DATIN SRI ZALEHA BINTI MOHD YUSOF, PENGERUSI JEMAAH TERTINGGI BAKAT DARAT.
  • PANGLIMA-PANGLIMA FORMASI DAN ISTERI, PEGAWAI-PEGAWAI KANAN DAN ISTERI, DATO’-DATO’, DATIN-DATIN SERTA PARA JEMPUTAN YANG SENTIASA SETIA BERDIRI TEGUH DI BELAKANG PERKHIDMATAN TENTERA DARAT PADA HARI INI.

PERBARISAN YANG DIADAKAN SEMPENA HARI TENTERA DARAT KE-85 INI TELAH MENGINGATKAN KITA AKAN KEKENTALAN, KEBERANIAN SERTA SEMANGAT JUANG BARISAN ANAK WATAN YANG SANGGUP MENGETEPIKAN USIA MUDANYA DEMI MENYAHUT SERUAN PERTIWI UNTUK MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA.

SESUNGGUHNYA, TIADA KEJAYAAN YANG TIDAK DISULAMI DENGAN PENGORBANAN. TIADA KEMERDEKAAN YANG TIDAK DIBASAHI DENGAN DARAH DAN KERINGAT. MALAH GUGURNYA PAHLAWAN-PAHLAWAN NEGARA DAN ADA YANG CEDERA HILANG UPAYA ADALAH SEMATA-MATA DEMI KEDAULATAN IBU PERTIWI. ATAS KESEDARAN INI, DEMI MEMPERINGATI PERJUANGAN DAN PENGORBANAN PAHLAWAN TERDAHULU, MARILAH BERSAMA-SAMA SAYA BERTAFAKUR SEJENAK. BAGI YANG BERAGAMA ISLAM, KITA SEDEKAHKAN BACAAN AL-FATIHAH BERSERTA IRINGAN DOA AGAR ROH MEREKA DITEMPATKAN BERSAMA-SAMA PARA SIDDIQIN, SYUHADA’ DAN SOLIHIN.

SESUNGGUHNYA TENTERA DARAT TIDAK PERNAH SESEKALI MELUPAKAN JASA DAN PENGORBANAN YANG TELAH MEREKA CURAHKAN DEMI MEMPERJUANGKAN TANAH AIR TERCINTA.

PARA PERWIRA, BINTARA, PETANDA DAN PERAJURIT SEKALIAN,

PADA HARI INI, TENTERA DARAT TELAH GENAP MENCAPAI USIA 85 TAHUN SEJAK PENUBUHANNYA. DALAM JANGKA MASA INI, TENTERA DARAT TELAH MELALUI BEBERAPA EVOLUSI PEMODENAN BERDASARKAN KEPADA PERUBAHAN PERSEKITARAN GEOSTRATEGIK DAN ANCAMAN SEMASA. TEMPOH INI MEMPERLIHATKAN KEUPAYAAN ANGKATAN DARAT TERUS DIBANGUNKAN SECARA BERPERINGKAT DENGAN MEMBERI PENEKANAN KEPADA KEMAMPUAN UNTUK MENGHADAPI SEBARANG BENTUK ANCAMAN DALAM PERSEKITARAN MULTI DOMAIN.

BERDASARKAN KEPADA EVOLUSI YANG BERLAKU INI, SEIRING DENGAN KEMATANGAN USIANYA, TENTERA DARAT TELAH BERJAYA MENGORAK LANGKAH MENEMPA PELBAGAI KECEMERLANGAN YANG BOLEH DIRUNGKAI MENERUSI LIMA (5) TERAS YANG MENJADI KEUTAMAAN SAYA DALAM MENGETUAI KETUMBUKAN INI. KECEMERLANGAN INI ADALAH BERLANDASKAN KEPADA KONSEP TENTERA DARAT SATU, KERANA BERSATU YANG DIDUKUNG PENUH OLEH SELURUH WARGANYA.

SAYA MULAKAN RUNGKAIAN KECEMERLANGAN INI MENERUSI TERAS PERTAMA IAITU PERKASAKAN KESIAGAAN ANGKATAN. KECEMERLANGAN TERAS INI DAPAT DILIHAT MENERUSI BEBERAPA ASPEK IAITU PEMBANGUNAN ORGANISASI SECARA MENYELURUH, PENINGKATAN KEUPAYAAN KEANGGOTAAN DAN KELENGKAPAN SERTA PELBAGAI PENGIKTIRAFAN YANG DITERIMA SAMA ADA DALAM NEGARA MAHUPUN ANTARABANGSA.

DALAM MENDEPANI ANCAMAN SERTA CABARAN GLOBAL MASA KINI DAN MASA HADAPAN, TENTERA DARAT TERUS BERUSAHA MEMPERKUKUHKAN KEUPAYAANNYA AGAR TERUS BERDIRI TEGUH DAN AMPUH SEBAGAI BENTENG PERTAHANAN NEGARA. USAHA INI DAPAT DILIHAT MENERUSI PELAN PEMBANGUNAN STRATEGIK TENTERA DARAT ARMY 4NEXTG YANG TELAH DIBANGUNKAN. PELAN INI SECARA DASARNYA MENTERJEMAHKAN TENTERA DARAT SEBAGAI SEBUAH ANGKATAN YANG MODEN, VERSATIL DAN KREDIBEL DALAM MENDUKUNG DASAR PERTAHANAN NEGARA.

PELAN PEMBANGUNAN STRATEGIK ARMY 4NEXTG INI DIBANGUNKAN SECARA HOLISTIK UNTUK MEMBOLEHKAN TENTERA DARAT BERUPAYA BEROPERASI DI DUA (2) WILAYAH SECARA SERENTAK. BAGI MENCAPAI MATLAMAT STRATEGIK INI, ARMY 4NEXTG DIRANGKA DAN DIBANGUNKAN BERDASARKAN KEPADA LIMA (5) MATLAMAT KEUPAYAAN BERIKUT:

  1. KEUPAYAAN DETECTION.
  2. KEUPAYAAN SURVIVE AND STRIKE.
  3. KEUPAYAAN SUSTAINMENT.
  4. KEUPAYAAN PROTRACTION.
  5. KEUPAYAAN NATION BUILDING.

IA TURUT MENGAMBIL KIRA PERKEMBANGAN TEKNOLOGI INFORMASI DAN KOMUNIKASI SEMASA, KEMAJUAN TEKNOLOGI PERSENJATAAN, PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA DAN LATIHAN, PENGURUSAN SUMBER LOGISTIK SERTA KEWANGAN SECARA BERPERINGKAT DAN TERANCANG.

PELAN PEMBANGUNAN STRATEGIK TENTERA DARAT INI JUGA DISOKONG DAN DIDORONG OLEH PROSES PENINGKATAN KEUPAYAAN KEANGGOTAANNYA. INI DAPAT DILIHAT MENERUSI PENSTRUKTURAN SEMULA BATALION KELAPAN BELAS REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA IAITU DARIPADA BATALION INFANTRI STANDARD KEPADA BATALION INFANTRI PARA. PENSTRUKTURAN SEMULA INI ADALAH BERKAIT RAPAT DENGAN PERANCANGAN SEMASA TENTERA DARAT YANG MAHUKAN KETUMBUKAN PASUKAN ATUR GERAK CEPAT DITINGKATKAN KEUPAYAANNYA. INI JUGA DIDORONG OLEH IKLIM GEOSTRATEGIK SERANTAU YANG MEMERLUKAN TENTERA DARAT MERANGKA SATU RANCANGAN KOMPREHENSIF UNTUK MENDEPANI CABARAN DAN ANCAMAN YANG PELBAGAI. ANCAMAN YANG BAKAL KITA DEPANI INI BUKAN SAHAJA PADA WAKTU SEKARANG, MALAH KITA JUGA BERSEDIA UNTUK MENGHADAPINYA PADA MASA HADAPAN.

SELARAS DENGAN RANCANGAN PEMBANGUNAN INI JUGA, KESIAGAAN ANGKATAN TERUS DIPERKASAKAN MELALUI PEROLEHAN PERALATAN DAN ASET-ASET BAHARU BAGI MEMASTIKAN PEMODENAN ANGKATAN TERUS DIREALISASIKAN. MELALUI PEROLEHAN DALAM SKALA YANG BESAR INI, SAYA YAKIN, VISI DAN MISI TENTERA DARAT AKAN TERUS DIPERTAHANKAN DAN SETERUSNYA MEMPERKUKUHKAN KEAMPUHAN KETUMBUKAN INI.

TAHAP KESIAGAAN ANGKATAN JUGA DAPAT DILIHAT MENERUSI PELBAGAI PENGIKTIRAFAN YANG DITERIMA TENTERA DARAT MENERUSI KECEMERLANGAN DARI KEPELBAGAIAN FUNGSI WARGANYA. KEPELBAGAIAN FUNGSI INI DAPAT DIJELASKAN MENERUSI KECEMERLANGAN WARGA TENTERA DARAT DALAM PELAKSANAAN OPERASI MENCEGAH AKTIVITI RENTAS SEMPADAN, ASPEK JIWA MURNI SERTA BANYAK LAGI PENGIKTIRAFAN YANG DITERIMA DALAM NEGARA HASIL DARI PELAKSANAAN PROGRAM NBOS. INI MENUNJUKKAN SETIAP WARGA TENTERA DARAT TELAH BERJAYA MEMBAWA NAMA BAIK ORGANISASI INI KE SATU TAHAP YANG MEMBANGGAKAN.

NAMA TENTERA DARAT TERUS TERUKIR MANIS BUKAN SAHAJA DI DALAM NEGARA, MALAH IA TURUT DIKENALI DI PERSADA ANTARABANGSA MENERUSI PENGLIBATAN MISI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU DALAM MENDUKUNG KEAMANAN SEJAGAT. KECEMERLANGAN INI HADIR HASIL DARI SIKAP PROFESIONALISME YANG DIPAMERKAN OLEH ANGGOTA-ANGGOTA YANG TERLIBAT DALAM MISI-MISI SEPERTI MALBATT-850 DI LUBNAN, TIM PEMANTAU ANTARABANGSA DI MINDANAO SERTA PEMERHATI TENTERA DI BEBERAPA NEGARA BERGOLAK YANG LAIN. TENTERA DARAT JUGA TERUS MENDAPAT KEPERCAYAAN DAN PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA APABILA TELAH TERPILIH UNTUK MENYEDIAKAN SATU KETUMBUKAN DIKENALI SEBAGAI BATALION SIAP SEDIA (BSS) YANG BERSEDIA UNTUK DIATUR GERAKKAN PADA BILA-BILA MASA DI BAWAH PANJI-PANJI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU.

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA KEPADA TENTERA DARAT TURUT DAPAT DILIHAT MENERUSI PLATFORM MILITARY DIPLOMACY. INI DIZAHIRKAN DENGAN JELASNYA MELALUI PELAKSANAAN ARMY TO ARMY TALK (A2AT) BERSAMA TENTERA DARAT DARI NEGARA-NEGARA SEPERTI AUSTRALIA, NEW ZEALAND, BRUNEI, INDONESIA, AMERIKA SYARIKAT, PAKISTAN, INDIA, FILIPINA, THAILAND, KANADA DAN JEPUN. SESUNGGUHNYA, PRESTASI UNGGUL YANG DIPAMERKAN OLEH SETIAP WARGA TENTERA DARAT INI TELAH MEMBAWA KEPADA SATU LEMBARAN BAHARU DI MANA KITA JUGA MAMPU UNTUK DUDUK SAMA RENDAH DAN BERDIRI SAMA TINGGI DENGAN TENTERA DARI NEGARA-NEGARA BESAR DUNIA YANG LAIN.

PARA PERWIRA, BINTARA, PETANDA DAN PERAJURIT SEKALIAN,

TERAS KEDUA YANG AKAN SAYA SENTUH IALAH PENGUKUHAN KESEPADUAN ANGKATAN. SEBAGAI SEBUAH ANGKATAN YANG BERSATU, TENTERA DARAT SENTIASA MEMBERI PENEKANAN KEPADA KESEPADUAN WARGANYA DALAM MENDUKUNG TUGAS HAKIKI MEMPERTAHANKAN NEGARA. KESEPADUAN YANG DIGARAP SEPENUHNYA OLEH SETIAP LAPISAN WARGA TENTERA DARAT INI TELAH BERJAYA MEMBUKTIKAN BAHAWA KEUTUHAN KITA PADA HARI INI TIDAK MAMPU DIPECAH-BELAHKAN OLEH BUDAYA YANG TIDAK SIHAT. SETIAP DARI KITA YANG ADA PADA HARI INI SENTIASA BERDIRI TEGUH SIAGA KERANA SIKAP YANG SENTIASA BERSATU DALAM MELAKSANAKAN TUGAS MAHUPUN KETIKA MENGHADAPI PELBAGAI CABARAN. JUSTERU, SAYA SECARA PERIBADI AMAT BERBANGGA DENGAN TAHAP KESEPADUAN YANG TELAH DIPAMERKAN OLEH WARGA TENTERA DARAT SELURUHNYA.

KEUTUHAN DAN KESEPADUAN YANG KITA LESTARIKAN INI ADALAH BERTUNJANGKAN KEPADA PENYUBURAN AMALAN SISTEM REJIMENTAL YANG MENJADI AMALAN HARIAN KITA. MENERUSI AMALAN INI, SIFAT KESETIAAN, KEPATUHAN, SEMANGAT SETIAKAWAN DAN SIFAT KEPUNYAAN TERHADAP NILAI SEPUNYA TERUS DAPAT DIPRAKTIKKAN.

SIFAT KESETIAAN YANG SENTIASA DIPRAKTIKKAN MELALUI PERHUBUNGAN VERTIKAL DI ANTARA PEMERINTAH DAN ANGGOTA YANG DIPERINTAH ADALAH SEBAGAI BUKTI JELAS KESEPADUAN YANG WUJUD DI DALAM ORGANISASI KITA INI. SITUASI INI DAPAT DIHURAIKAN MENERUSI PENTERJEMAHAN SIFAT KESETIAAN PEMERINTAH KEPADA MEREKA YANG DIPIMPIN AGAR ANGGOTA YANG DIPIMPIN SENTIASA TERBELA. SEBAGAI TIMBAL BALASNYA, ASPEK KEPATUHAN ANGGOTA YANG DIPIMPIN KEPADA SETIAP DASAR, PERATURAN DAN PERINTAH AKAN MENGUKUHKAN LAGI IKATAN KESEPADUAN INI. ADALAH DIYAKINI BAHAWA SETIAP ANGGOTA YANG DIPERINTAH AKAN MELAKSANAKAN SEGALA TUGAS YANG DIBERI DENGAN IKHLAS, RAJIN, GIGIH, BERMORAL TINGGI SERTA PEKA KEPADA PERUBAHAN SEKELILING. KEADAAN INI SETERUSNYA AKAN MENGUATKAN LAGI SEMANGAT ESPRIT DE CORP DAN MENANAMKAN SIFAT SAYANGKAN ORGANISASI DI KALANGAN SETIAP INDIVIDU WARGA TENTERA DARAT.

DALAM MASA YANG SAMA, KESEPADUAN ANGKATAN INI TURUT DAPAT DIJELASKAN DAN DIBUKTIKAN MENERUSI SIFAT KERJASAMA, SEMANGAT SETIA KAWAN SERTA JALINAN KEAKRABAN UTUH YANG DIPAMERKAN OLEH SETIAP WARGA TENTERA DARAT DALAM PELAKSANAAN APA JUA BENTUK AKTIVITI SAMA ADA OPERASI MAHUPUN LATIHAN. KEADAAN INI SECARA TIDAK LANGSUNG TELAH MELETAKKAN KITA SEBAGAI SEBUAH ORGANISASI YANG BERSATU PADU DALAM MENDEPANI APA JUA CABARAN YANG MENDATANG. “BERSATU KITA TEGUH, BERCERAI KITA ROBOH”. ITULAH ASAS KEPADA WUJUDNYA SLOGAN TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU.

TERAS KETIGA PULA IALAH PENEGUHAN PROFESIONALISME. ASPEK PROFESIONALISME YANG SAYA TEKANKAN DI SINI ADALAH MERUJUK KEPADA KEPERLUAN UNTUK SETIAP WARGA TENTERA DARAT MEMPUNYAI PERAWAKAN FIZIKAL YANG UNGGUL, BERKETERAMPILAN SERTA BERKEMAHIRAN TINGGI. INI DISOKONG MELALUI ASPEK KECERGASAN TUBUH BADAN, PENINGKATAN DAYA INTELEKTUAL SERTA MAHIR DALAM PELBAGAI BIDANG YANG DIKHUSUSKAN.

DALAM ASPEK KECERGASAN TUBUH BADAN, SAYA MELIHAT LATIHAN JASMANI YANG DILAKSANAKAN DI LUAR WAKTU KERJA SERTA PELBAGAI PERTANDINGAN SUKAN TEMPUR TELAH MENYUMBANG KEPADA PENINGKATAN SIKAP PROFESIONAL WARGA TENTERA DARAT. AKTIVITI INI SEHARUSNYA DIJADIKAN SATU BUDAYA OLEH SELURUH WARGA TENTERA DARAT SEBAGAI LANGKAH POSITIF UNTUK MENENTUKAN KECERGASAN SETIAP WARGANYA DI SAMPING MENGAWAL PERMASALAHAN OBESITI YANG MEMBELENGGU ORGANISASI DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN MODAL INSAN.

DALAM ASPEK PENINGKATAN INTELEKTUAL, TENTERA DARAT TELAH BERJAYA MENGURUSKAN SUMBER MANUSIANYA MELALUI PENINGKATAN KELAYAKAN AKADEMIK WARGANYA. INI JELAS DAPAT DILIHAT MENERUSI SKIM KEMASUKAN YANG TELAH DIPERTINGKATKAN BAGI PEGAWAI MAHUPUN ANGGOTA. DALAM MASA YANG SAMA, USAHA UNTUK MENINGKATKAN KELAYAKAN AKADEMIK SECARA BERTERUSAN TURUT DILAKSANAKAN MELALUI PELUANG-PELUANG UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN MENERUSI SKIM PENGAJIAN TINGGI YANG DITAWARKAN. LEBIH MANIS LAGI, PROGRAM DOKTOR PENGURUSAN YANG DILAKSANAKAN DI INSPEKA JUGA TURUT MEMBUKA RUANG UNTUK PENINGKATAN INTELEK WARGA TENTERA DARAT KE SATU TAHAP YANG LEBIH TINGGI. SITUASI INI JELAS MENUNJUKKAN TAHAP PROFESIONAL WARGA TENTERA DARAT SENTIASA DIUTAMAKAN DAN DIBANGUNKAN SEIRING DENGAN PERKEMBANGAN DAN KEPESATAN TEKNOLOGI.

DALAM NADA YANG SAMA, TENTERA DARAT JUGA TERUS MEMANDANG KE HADAPAN UNTUK MENINGKATKAN KEMAHIRAN DAN KEPAKARAN WARGANYA MENERUSI PEROLEHAN DAN PEMBANGUNAN PELBAGAI INFRASTRUKTUR LATIHAN YANG SERBA MODEN DAN CANGGIH. KEMUDAHAN SEPERTI IMMERSIVE VIRTUAL TRAINING SIMULATOR (VIRTSIM), URBAN COMBAT VILLAGE, KOLAM SELAM TEMPUR DAN KEMUDAHAN-KEMUDAHAN LATIHAN LAIN DIYAKINI MAMPU UNTUK MENINGKATKAN LAGI KEMAHIRAN DAN KEPAKARAN WARGA TENTERA DARAT BAIK SECARA TEORI MAHUPUN PRAKTIKAL. INI DAPAT DISIMPULKAN BAHAWA PELBAGAI KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN INI MERUPAKAN PLATFORM TERBAIK UNTUK TENTERA DARAT TERUS MENYEDIAKAN MODAL INSAN YANG PROFESIONAL DAN AMPUH.

PARA PERWIRA, BINTARA, PETANDA DAN PERAJURIT SEKALIAN,

TERAS KEEMPAT IALAH PEMANTAPAN PENGURUSAN ORGANISASI. SEBAGAIMANA SAYA TEKANKAN DI DALAM PERINTAH ULUNG SAYA, ASPEK PEMERINTAHAN, KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN YANG BERWIBAWA PERLU DIHAYATI SUPAYA SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH BERTERASKAN INTEGRITI DAN KETELUSAN. DALAM USAHA KE ARAH PENGURUSAN YANG BERINTEGRITI TINGGI DAN TELUS, TENTERA DARAT PADA HARI INI TELAH BERJAYA MELANCARKAN PELAN INTEGRITI ORGANISASI TENTERA DARAT (PIO TD) DAN MEMBANGUNKAN 33 MANUAL KUALITI MALAYSIAN ARMY STANDARDS (MASt) YANG TELAH DIJADIKAN PANDUAN DALAM MENGURUS TADBIR FORMASI SERTA PASUKAN. INI MEMBUKTIKAN BAHAWA TENTERA DARAT AMAT KOMITED DENGAN APA YANG DIRANCANG DEMI MENERAP BUDAYA BERINTERGRITI DAN TELUS DI KALANGAN WARGANYA.

DI SAMPING ITU, PEMBUDAYAAN AMALAN INOVASI SERTA KREATIF OLEH WARGA TENTERA DARAT TELAH BERJAYA MENGHARUMKAN NAMA BAIK TENTERA DARAT DI MANA ENAM (6) PROJEK DARIPADA KESELURUHAN 14 PROJEK YANG DIPERTANDINGKAN DI PERTANDINGAN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) PERINGKAT KEMENTAH TELAH BERJAYA MENDAPAT TEMPAT TIGA TERBAIK. LEBIH MEMBANGGAKAN APABILA SALAH SATU PROJEK INOVASI IAITU SMART GENERATOR SYSTEM TELAH MERANGKUL JOHAN PADA PERTANDINGAN INOVASI NEGERI SELANGOR (AINS) TAHUN 2017 BAGI KATEGORI SEKTOR KERAJAAN/SWASTA DAN NAIB JOHAN DI PERTANDINGAN INOVASI INKLUSIF ZON TENGAH. DALAM MASA YANG SAMA, PROJEK BERKENAAN JUGA TELAH MENDAPAT PENARAFAN TIGA BINTANG SERTA DICALONKAN UNTUK BERTANDING PERINGKAT ANTARABANGSA DI INDONESIA PADA BULAN NOVEMBER AKAN DATANG. KEJAYAAN-KEJAYAAN INI MENUNJUKKAN BAHAWA WARGA TENTERA DARAT PADA HARI INI TIDAK KETANDUSAN IDEA DAN MAMPU BERSAING DENGAN AGENSI-AGENSI LAIN PADA PERINGKAT YANG LEBIH TINGGI.

SAYA PERCAYA, SEMUA KEJAYAAN YANG KITA KECAPI SEHINGGA KE HARI INI MERUPAKAN CERMINAN BUDAYA KERJA CEMERLANG YANG DIAMALKAN OLEH SETIAP DARI KITA. SESUNGGUHNYA, UNTUK MENGEKALKAN SESUATU KEJAYAAN ITU ADALAH LEBIH SUKAR DARI MENCAPAINYA. JUSTERU, MARILAH KITA BERSAMA-SAMA UNTUK MENERUSKAN BUDAYA KERJA UNGGUL INI DENGAN MELETAKKAN SASARAN UNTUK MENJADIKAN TENTERA DARAT SEBAGAI SEBUAH ENTITI YANG TERSOHOR SELAMANYA.

TERAS YANG TERAKHIR IAITU KELIMA ADALAH BERKAITAN PENINGKATAN KUALITI HIDUP. PENINGKATAN KUALITI HIDUP ANGGOTA TENTERA DAN KELUARGA TERUS MENJADI AGENDA UTAMA SAYA DAN HASRAT INI TELAH MENDAPAT SOKONGAN SEPENUHNYA BAIK DI PERINGKAT KEMENTERIAN PERTAHANAN MAHUPUN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA. ASPEK INI SAYA UTAMAKAN ADALAH SEMATA-MATA UNTUK MEMBANTU MENJANA SERTA MENINGKATKAN MORAL, SEMANGAT DAN MOTIVASI WARGA TENTERA DARAT UNTUK TERUS MENABUR BAKTI KEPADA NEGARA DALAM SUASANA YANG HARMONI, TENTERAM DAN IKHLAS.

PENINGKATAN KUALITI HIDUP INI DAPAT DILIHAT MENERUSI PEMBINAAN KEM-KEM BAHARU YANG SERBA LENGKAP DENGAN PRASARANA LATIHAN YANG TERKINI. DI SAMPING ITU, PEMBINAAN DAN PENAMBAHBAIKAN RUMAH-RUMAH KELUARGA YANG KEKAL MANJADI KEUTAMAAN DALAM BAJET YANG TELAH DIUMUMKAN BARU-BARU INI JUGA DILIHAT SEBAGAI INISIATIF TERBAIK KERAJAAN DALAM MENENTUKAN KESELESAAN HIDUP WARGA TENTERA DARAT DENGAN PENERAPAN KONSEP RUMAHKU-SYURGAKU. KEPRIHATINAN DAN KEPEKAAN PIHAK KERAJAAN TERHADAP KEBAJIKAN WARGA TENTERA DIYAKINI AKAN TERUS DIPERLUASKAN DENGAN BANYAK LAGI RUMAH KELUARGA AKAN DIBINA PADA MASA AKAN DATANG. INI BAGI MEMBERI KEMUDAHAN SERTA KESELESAAN HIDUP YANG LEBIH BAIK KEPADA SELURUH WARGA TENTERA KHUSUSNYA WARGA TENTERA DARAT.

DI SAMPING ITU, BLUEPRINT PELAN TRANSFORMASI KESIHATAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA YANG DIWUJUDKAN AMAT BESAR MAKNANYA KEPADA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA AMNYA DAN TENTERA DARAT KHASNYA. MENERUSI INISIATIF INI, KEBAJIKAN GOLONGAN SASAR INI TERUS DITITIKBERATKAN MELALUI ENAM TERAS UTAMA IAITU:

  • MEMPERKASA PROFESIONALISME PENGAMAL PERUBATAN KESIHATAN KETENTERAAN.
  • MEMAJUKAN PERKHIDMATAN PERUBATAN KETENTERAAN SEBAGAI ASET HUMAN AND SOCIAL SECURITY.
  • MEMBANGUNKAN SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN YANG TERBAIK UNTUK ANGGOTA, VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA SERTA AHLI KELUARGA.
  • MENAIK TARAF INFRASTRUKTUR PERKHIDMATAN KESIHATAN YANG LEBIH KONDUSIF, BERKUALITI DAN SEIMBANG.
  • MEMPERKASA INFRASTRUKTUR KESIHATAN DI PANGKALAN DAN MEDAN.
  • MELETAKKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN ANGKATAN TENTERA KEKAL RELEVAN.

BAGI ASPEK PENDIDIKAN PULA, BLUEPRINT AGENDA PENDIDIKAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA 2018-2022 YANG TELAH DILANCARKAN OLEH YANG BERHORMAT MENTERI PERTAHANAN MERUPAKAN INISIATIF YANG DAPAT MEWUJUDKAN SUASANA PEMBELAJARAN YANG KOMPREHENSIF, AKTIF DAN KONDUSIF DALAM KALANGAN ANAK-ANAK WARGA TENTERA SEIRING DENGAN KONSEP PEMBELAJARAN ABAD KE-21. BLUEPRINT INI AKAN MEMASTIKAN ANAK-ANAK SENTIASA DIJAGA DAN DISELIA DENGAN BAIK AGAR IBU BAPA MERAKA DAPAT KEKAL FOKUS DALAM MELAKSANAKAN TUGAS MENJAGA KESELAMATAN NEGARA SERTA BERTUGAS DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB DAN BERINTEGRITI.

BLUEPRINT AGENDA PENDIDIKAN 2018-2022 INI YANG DITERJEMAHKAN KEPADA EMPAT PENDEKATAN IAITU:

  • PEMBANGUNAN INFRA PENDIDIKAN SEKOLAH-SEKOLAH DALAM KEM TENTERA DARAT.
  • MEMPERKASAKAN INSTITUSI PENDIDIKAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA SEDIA ADA KE TAHAP YANG LEBIH UNGGUL.
  • INISIATIF KEBAJIKAN PENDIDIKAN KEMENTERIAN PERTAHANAN.
  • PENGIKTIRAFAN DAN PENGHARGAAN MODAL INSAN TELAH DILANCARKAN MENERUSI KOLABORASI NBOS BERSAMA BEBERAPA KEMENTERIAN.

SEMUA INI MERUPAKAN USAHA-USAHA YANG TELAH DILAKSANAKAN DEMI MEMBERI PELUANG KEPADA ANAK-ANAK WARGA TENTERA MENDAPAT KUALITI PENDIDIKAN YANG BERMUTU DI SAMPING MEMBANTU DALAM MENENTUKAN KEJAYAAN AKADEMIK KEPADA ANAK-ANAK INI.

BERKAITAN ASPEK PEMILIKAN RUMAH PULA, KERAJAAN MELALUI KEMENTERIAN PERTAHANAN TELAH MELANCARKAN PROGRAM SATU ANGGOTA SATU RUMAH (SASaR) DENGAN MATLAMAT UTAMA BAGI MENENTUKAN SETIAP ANGGOTA TENTERA MEMILIKI SEBUAH RUMAH SEBELUM MEREKA BERSARA. INISIATIF YANG DIRANCANG DIPERLUASKAN KE SELURUH NEGARA INI BAKAL DILAKSANAKAN MENERUSI KERJASAMA DENGAN KERAJAAN NEGERI DAN AGENSI SWASTA SERTA MELAKSANAKAN PEMBANGUNANNYA DI ATAS TANAH MILIK ANGGOTA. PROGRAM YANG MENDAPAT SAMBUTAN YANG SANGAT MENGGALAKKAN INI JELAS MAMPU MEMBANTU WARGA TENTERA DALAM PROSES PEMILIKAN RUMAH SENDIRI DAN SETERUSNYA MENCAPAI OBJEKTIF YANG TELAH DIGARISKAN.

SELAIN ITU, KEPRIHATINAN KEMENTERIAN PERTAHANAN JUGA DIPERLUASKAN LAGI MELALUI PELAN TRANSFORMASI PERNAMA. PIHAK PERNAMA TELAH MELANCARKAN BEBERAPA INISIATIF KHUSUS MENERUSI PENAWARAN HARGA YANG JAUH LEBIH MURAH DARI HARGA PASARAN. JUSTERU, ANGGOTA TENTERA MEMPUNYAI LEBIH PILIHAN UNTUK BERBELANJA DAN BERJIMAT. SECARA TIDAK LANGSUNG IA MAMPU MENGURANGKAN BEBAN WARGA TENTERA DALAM MENDEPANI KOS SARA HIDUP SEMASA.

PELBAGAI KEMUDAHAN YANG SAYA SEBUTKAN TADI TURUT DIPANJANGKAN KEPADA PARA VETERAN TENTERA YANG SELAMA INI MENJADI TULANG BELAKANG KEPADA KEAMPUHAN KETUMBUKAN ANGKATAN INI. INI MEMBUKTIKAN SUMBANGAN DAN JASA BAKTI YANG TELAH DICURAHKAN OLEH PARA VETERAN TENTERA YANG TELAH SAMA-SAMA BERMANDI DARAH DAN KERINGAT UNTUK MENENTUKAN KEDAULATAN NEGARA SENTIASA TERPELIHARA TIDAK SESEKALI DILUPAKAN. JUSTERU, MANIFESTASI DAN SOKONGAN YANG BERTERUSAN ADALAH DIHARAPKAN AGAR KEAMPUHAN BENTENG UTAMA PERTAHANAN NEGARA INI SENTIASA BERADA PADA TAHAP YANG TERTINGGI.

PARA PERWIRA, BINTARA, PETANDA DAN PERAJURIT SEKALIAN.

DALAM KITA DIASAK OLEH CABARAN TUGAS DAN KEPADATAN AKTIVITI HARIAN, JANGAN SESEKALI KITA LUPAKAN PENGORBANAN AHLI-AHLI BAKAT. BEBANAN YANG DIPIKUL OLEH PARA ISTERI DALAM MENGURUS TADBIR KELUARGA AMAT BERNILAI DAN BERMAKNA. SELAKU PANGLIMA TENTERA DARAT, SAYA SECARA KHUSUS MEWAKILI PARA SUAMI MERAKAMKAN UCAPAN SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA SELURUH AHLI BAKAT DARAT DI ATAS PERIH JERIH DAN PENAT LELAH YANG TELAH PUAN-PUAN CURAHKAN.

KESABARAN DAN KETABAHAN PUAN-PUAN DALAM MEMAHAMI TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB KAMI AMAT-AMAT DIHARGAI. PUAN-PUAN JUGA SECARA TIDAK LANGSUNG TELAH BERKORBAN KEPADA NEGARA DENGAN MENGETEPIKAN KEPENTINGAN PERIBADI BAGI MEMASTIKAN PARA SUAMI MAMPU MENUMPUKAN PERHATIAN SEPENUHNYA SEMASA MELAKSANAKAN TUGAS. SESUNGGUHNYA PENGORBANAN PUAN-PUAN KEPADA TENTERA DARAT KHASNYA DAN TANAH AIR AMNYA, AMAT MULIA DAN TINGGI NILAINYA.

TENTERA DARAT JUGA MERAKAMKAN JUTAAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA DI ATAS KEPEKAAN DAN KEPRIHATINAN BELIAU BERKAITAN PEMBANGUNAN TENTERA DARAT YANG KINI TELAH MENCAPAI USIA 85 TAHUN PENUBUHANNYA. PELBAGAI KEMAJUAN YANG DICAPAI DALAM EVOLUSI PEMBANGUNAN TENTERA DARAT HINGGA KE HARI INI ADALAH BERKAIT RAPAT DENGAN SOKONGAN DAN KEPERCAYAAN YANG DIBERI OLEH KERAJAAN MELALUI PERUNTUKAN YANG TELAH DILULUSKAN DALAM BAJET TAHUNAN NEGARA. INI MENUNJUKKAN KERAJAAN SENTIASA MEMBERI KEPERCAYAAN DAN SOKONGAN YANG TIDAK PERNAH PUTUS KEPADA KEMENTERIAN PERTAHANAN, ANGKATAN TENTERA MALAYSIA SERTA TENTERA DARAT MALAYSIA DEMI MEMASTIKAN KEAMPUHAN KETUMBUKAN INI SENTIASA DIPERTINGKATKAN SEIRING DENGAN RANCANGAN TRANSFORMASI NASIONAL TAHUN 2050.

RAKAMAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH TURUT SAYA PANJANGKAN KEPADA MENTERI PERTAHANAN, TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN, PANGLIMA ANGKATAN TENTERA DAN SELURUH WARGA KEMENTERIAN PERTAHANAN DI ATAS SEGALA SOKONGAN, BANTUAN DAN KERJASAMA ERAT YANG TELAH DIHULURKAN KEPADA ANGKATAN INI DEMI KELANGSUNGAN PEMBANGUNANNYA. UCAPAN YANG SAMA TURUT SAYA BERIKAN KEPADA PERKHIDMATAN TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA, TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA, POLIS DIRAJA MALAYSIA SERTA AGENSI-AGENSI KERAJAAN, SWASTA, NGO-NGO DAN JUGA PIHAK MEDIA YANG SENTIASA BERDIRI TEGUH BERSAMA-SAMA TENTERA DARAT DALAM MEMASTIKAN KEDAULATAN NEGARA SENTIASA TERPELIHARA.

KAMI SENTIASA MENGHARGAI DAN AKAN MENENTUKAN PENGHORMATAN RAKYAT TERUS DIPELIHARA DEMI NEGARA TERCINTA. PENGIKTIRAFAN DAN KEYAKINAN YANG DIBERI TIDAK AKAN SESEKALI DISIA-SIAKAN. JANJI KAMI, TENTERA DARAT AKAN TERUS MELAKSANAKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB MEMPERTAHANKAN MARUAH SERTA KEDAULATAN NEGARA AGAR TERUS TERPELIHARA DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT.

BAGI PIHAK SEMUA LAPISAN WARGA TENTERA DARAT, SAYA MENGULANGI LAFAZ IKRAR TAAT SETIA YANG TIDAK BERBELAH BAHAGI KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SELAKU PEMERINTAH TERTINGGI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA. KAMI BERIKRAR, TENTERA DARAT AKAN SENTIASA MENJUNJUNG TINGGI KEDAULATAN NEGARA DAN BERDIRI TEGUH MENYOKONG PENUH TAMPUK PEMERINTAHAN NEGARA.

SELAKU PANGLIMA TENTERA DARAT, IZINKAN SAYA UNTUK MEMIMPIN SAUDARA-SAUDARI DALAM MEMPERBAHARUI LAFAZ IKRAR TAAT SETIA KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG.

IKRAR KESATRIA

KAMI BERIKRAR:

PERTAMA. BERIMAN KEPADA TUHAN DAN BERTAQWA KEPADANYA.
KEDUA. SETIA KEPADA NEGARA DAN SEDIA BERKORBAN DEMI KEPENTINGANNYA DENGAN TIDAK SEKALI-KALI MENGENAL MENYERAH.
KETIGA. MEMEGANG TEGUH DISIPLIN TENTERA DAN SENTIASA MENJUNJUNG TINGGI SIKAP KEPERWIRAAN DAN KEHORMATAN TENTERA.
KEEMPAT. MENGUTAMAKAN PELAKSANAAN TUGAS DENGAN JUJUR DAN IKHLAS.
KELIMA. MENYIMPAN RAHSIA NEGARA DENGAN SEKETAT-KETATNYA.

SEBELUM SAYA AKHIRI UCAPAN SAYA PADA PAGI INI, SEKALI LAGI SAYA RAKAMKAN PENGHARGAAN KEPADA MANTAN-MANTAN PANGLIMA TENTERA DARAT DI ATAS SEGALA SUMBANGAN, PENGORBANAN DAN NASIHAT YANG DIBERIKAN KEPADA PERKHIDMATAN DI DALAM MEMBENTUK SEBUAH KETUMBUKAN YANG KOMPETEN DAN CEMERLANG. INSHA ALLAH, KAMI SEBAGAI PEWARIS LEGASI KECEMERLANGAN AKAN TERUS MENGORAK LANGKAH KE ARAH YANG LEBIH BAIK DEMI AGAMA, BANGSA DAN KEDAULATAN NEGARA.

AKHIR KATA, INGIN SAYA TEGASKAN BAHAWA PENGORBANAN KITA SEMUA ADALAH DEMI KEDAULATAN NEGARA DAN KEAMANAN SEJAGAT. AYUH, TEGUH DAN AMPUHKAN BARISAN KITA, TINGKATKAN ILTIZAM DAN BULATKAN TEKAD DALAM KESEPADUAN YANG HAKIKI BAGI MENERUSKAN KECEMERLANGAN TENTERA DARAT AGAR TERUS DIGERUNI, DISEGANI DAN DIHORMATI.

SEKIAN, SAYA SUDAHI DENGAN WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

“TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU”

JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIPLE BIN HJ KASSIM
PANGLIMA TENTERA DARAT