22 Ogos 2019
Kemaskini Akhir: 11 Ogos 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


17041804KUALA LUMPUR: Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2018 dibuka secara rasmi dengan menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 anggota delegasi luar dari 45 buah negara di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 16 Apr 2018.

Pameran ini diadakan dari 16 hingga 19 Apr 2018 dan dijangka menarik 45,000 pelawat yang mana merupakan platform kepada pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea selain memberi peluang kepada penggiat industri pertahanan bagi memasarkan produk masing-masing.

Selain itu ianya merupakan kali pertama edisi Ke-16 DSA dianjurkan bersama NATSEC Asia melibatkan kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri di mana menggabungkan pameran kelengkapan pertahanan, keselamatan dan kepolisan.

Buat julung kalinya acara dwitahunan yang diadakan sejak tahun 1988 ini ditempatkan di lokasi baharu dan dilihat dapat mengatasi beberapa kelemahan yang wujud sebelum ini termasuk peningkatan aspek keselamatan.

DSA 2018 juga adalah pameran dan persidangan yang diiktiraf antara lima terbaik dunia dengan pelbagai acara diadakan semasa pameran antaranya Putrajaya Forum, Chief of Army Roundtable Talks (ChART), Chemical, Biological, Radiological and Explosive (CBRNe) atau Military Medicine Conference dan Demonstrasi Dron.

Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein berkata kepada pemberita, pameran ini membuktikan bahawa pihak luar mempunyai keyakinan tinggi terhadap kestabilan Malaysia di rantau Asia Tenggara walaupun Malaysia dituduh bermacam-macam namun program sebegini menunjukkan negara berada dalam satu posisi yang cukup baik dan menarik minat banyak penganjur luar.

“Saya begitu gembira kerana apa yang saya lihat hari ini, komitmen daripada Kementerian Pertahanan, industri pertahanan amat membanggakan kerana banyak tetamu luar dan mereka menunjukkan minat untuk bersama kita dalam DSA kali ini.

Di sini kita dapat lihat mereka punyai keyakinan terhadap Malaysia dan diterjemahkan dalam konteks kestabilan di rantau ini membolehkan mereka yakin akan keadaan negara kita,” katanya.

Mengimbau sejarah DSA, ianya mula dianjurkan pada tahun 1988 di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan, Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail di mana ketika itu hanya melibatkan penyertaan sebanyak 394 syarikat dengan mempamerkan produk pertahanan berkeluasan 6,000 kaki persegi dan permulaan ini telah mencipta rekod yang membanggakan.

Oleh itu, untuk meneruskan kesinambungan kejayaan, penganjuran DSA diteruskan secara dwitahunan sehingga ke tahun 2018 edisi Ke-16 di mana DSA 2018 berdiri megah seiringan dengan penganjuran pameran pertahanan yang lain seperti International Defence Exhibition and Conference (IDEX) yang dianjurkan oleh negara Emiriah Arab Bersatu, Defence Security and Equipment International (DSEI) di bawah pentadbiran negara Britain dan lain-lain lagi pameran pertahanan di seluruh dunia.

Terdahulu DSA 2018 dibuka secara rasmi oleh  Timbalan MENHAN, Dato’ Seri Mohd Johari Baharom bersama Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim.

Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affandi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi.