21 September 2019
Kemaskini Akhir: 13 September 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

25041806SARAWAK: Pengerusi Kor Rejimen Renjer Diraja, Lt Jen Datuk Wira Mohd Zaki Hj Mokhtar menyempurnakan Perbarisan Pertukaran Bendera Rejimen Renjer Diraja (RRD) bertempat di Padang Kawad Kem Muara Tuang pada 18 Apr 2018.

Bendera Rejimen Renjer Diraja yang terdahulu (Warna Rifle Green) digunakan semenjak penubuhan Batalion Pertama dan Kedua Askar Renjer pada 16 September 1963.

Cadangan penukaran bendera ini telah diusulkan dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Pusat Rejimen Renjer Diraja Ke-38 pada 16 April 2010 dan kemudiannya ditaklimatkan dalam Mesyuarat Pengerusi-pengerusi Kor/Rejimen Tentera Darat Ke-41.

Hasil daripada mesyuarat tersebut telah dimuktamatkan bahawa cadangan pertukaran bendera ini akan dipersembahkan kepada Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja iaitu DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis.

Pada 15 Mei 2017 Pengerusi Kor telah membentangkan perkara tersebut kepada DYMM Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja di Istana Arau, Perlis sewaktu Sembah Mengadap oleh Pengerusi Kor.

DYMM Kolonel Yang DiPertua Rejimen Renjer Diraja telah memperkenankan agar bendera ini diguna oleh semua pasukan Rejimen Renjer Diraja.

Akhirnya melalui Mesyuarat Jawatan Kuasa Panglima Tentera Darat Siri 4/2017 yang dipengerusikan oleh Panglima Tentera Darat telah meluluskan kertas kerja cadangan tersebut.

Bendera Kor Rejimen Renjer yang baru ini telah menggantikan warna Green Rifle kepada 3 warna.

Warna merah bermaksud keberanian, kesungguhan dan pengorbanan, Kuning bermaksud keagungan perundangan, perpaduan serta kestabilan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan warna hitam merupakan warna asal identiti Rejimen Renjer Diraja semenjak penubuhannya.

Ketiga-tiga warna ini juga sinonim dengan warna asas bendera Negeri Sarawak yang merupakan sejarah awal penubuhan Rejimen Renjer Diraja.

Kekuatan Perbarisan Pertukaran Bendera Rejimen Renjer Diraja adalah seramai 17 Peg dan 287 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan perbarisan ini diketuai oleh Lt Kol Anuar Ahmad Peg Mem Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja.

Turut hadir dalam perbarisan ini Panglima Div Pertama Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw, Panglima Angkatan Petugas 450, Mej Jen Dato’ Zulkapri Rahamat, Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat, Pegawai-pegawai Memerintah Batalion Renjer Diraja, Pengerusi serta ahli-ahli BAKAT dan Pesara-pesara tentera.