18 September 2019
Kemaskini Akhir: 13 September 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

27051803KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia (MENHAN), Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad Sabu, secara rasminya memulakan tugas sebagai MENHAN yang baharu di Wisma Pertahanan pada 22 Mei 2018.

Sebaik sahaja tiba di perkarangan Wisma Pertahanan,MENHAN disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor lalu menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Juniusabdiah Shah Putra Janny serta diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Serba ringkas keperibadiannya, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu lahir pada 14 Okt 1954 merupakan ahli politik Malaysia berbangsa Melayu yang pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia dan kini menjadi Presiden Parti Amanah negara.

Pendidikan awalnya  bermula di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan Seni Kulinari di Institut Teknologi Mara (UiTM) dan mula menyertai bidang politik sejak dari tahun 1975 dan pertama kali menang dalam Pilihan Raya Umum Malaysia pada tahun 1990 di Parlimen Nilam Puri.

Terdahulu selesai acara KKU, beliau dibawa dan diperkenalkan kepada Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan awam seterusnya memasuki pintu masuk VIP Wisma Pertahanan dengan mengakseskan kad kerja MinDef sebagai tanda bermulanya hari pertama beliau di MinDef.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad, Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Affandi Buang TUDM, pegawai-pegawai kanan ATM dan awam Kementerian Pertahanan.