15 November 2019
Kemaskini Akhir: 12 November 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

09071804KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini melalui kepimpinan terbaharu menitik beratkan fokus utamanya iaitu usaha mempertingkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan ATM selari dengan landskap geopolitik dan strategik antarabangsa khususnya di bidang teknologi maklumat yang semakin pesat berkembang.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin mahukan setiap daripada anggota tentera itu sendiri hendaklah sentiasa peka terhadap geopolitik serantau, sensitif terhadap fenomena persekitaran keseimbangan kuasa dengan mengambil kira keadaan saling memerlukan yang wujud di kalangan negara-negara di rantau Asean serta kuasa-kuasa besar dunia.

Beliau berkata demikian semasa Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-20 di Dataran Panglima Tentera Darat pada 6 Jul 2018 di mana beliau menyeru agar setiap lapisan warga ATM berganding bahu dan berdiri teguh bersama-sama beliau demi memperkasakan segala nilai teras yang diperlukan untuk mewujudkan sebuah organisasi yang sentiasa dihormati oleh rakyat.

“Peningkatan Ancaman Bukan Tradisional yang berbentuk militan juga perlu diberi perhatian sewajarnya di mana kecenderungan pihak yang sentiasa melakukan kegiatan seperti keganasan, aktiviti lintas sempadan, menggugat ketenteraman awam, kesan pasca bencana alam serta gejala-gejala sosial perlu diberi perhatian kerana mampu menggugat kestabilan negara serta mendedahkan negara kepada campur tangan pihak luar.

“Justeru itu, ATM akan terus mempertingkatkan iltizam dalam segenap aspek mempertahankan kedaulatan perbatasan negara baik di daratan, lautan mahupun ruang udara daripada sebarang ancaman atau pencerobohan anasir luar,” tegas PAT.

Perintah Ulung ini juga bersempena dengan pertukaran tampuk kepimpinan ATM yang baharu di antara mantan PAT Ke-19, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin pada 20 Jun yang lalu.

Selain itu PAT juga berharap agar sebagai Perisai Negara, tahap profesionalisme perlu terus dipertingkatkan lagi serta menyemarakkan iltizam untuk memacu organisasi ke tahap yang lebih tinggi dengan berteraskan empat teras iaitu Angkatan Yang Profesional, Ketumbukan Yang Siap Siaga, Keutuhan Organisasi dan Memperkasakan Kualiti Hidup.

Terdahulu perbarisan ini melibatkan 28 pegawai dan 924 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM yang meliputi empat detasmen dengan konsep perbarisan statik diketuai oleh Lt Kol Mohd Khairul Nizam Sulaiman dan diiringi Pancaragam Gabungan ATM.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Affendi Hj Buang TUDM dan warga ATM.