19 September 2019
Kemaskini Akhir: 13 September 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

09081801JITRA, 8 Ogos 18 - Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD), Kem Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Jitra diberi penghormatan apabila dipilih sebagai lokasi Lawatan Penghargaan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-26, Jen Tan Sri Dato' Sri Zulkiple bin Hj Kassim yang berlangsung hari ini. Perbarisan ini merupakan simbolik bagi menghargai jasa dan khidmat bakti yang telah beliau curahkan selama 42 tahun mengabdikan diri di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Mengimbas kembali perjalanan kerjaya di 6 RAMD, beliau telah memulakan karier awal ketenteraan di pasukan ini dan menjawat pelbagai jawatan antaranya Ketua Platun, Pegawai Mortar, Ajutan dan juga pernah mengharungi era insurgensi yang mana ketika itu pasukan berpangkalan di Kem Town Barrack, Taiping, Perak.

Terdahulu, sejurus tiba di Padang Kawad 6 RAMD sebentar tadi, beliau menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri daripada 16 pegawai dan 322 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Abdul Rani bin Abdul Majid, Pegawai Memerintah 6 RAMD. Beliau seterusnya membuat pemeriksaan perbarisan selain menyaksikan acara berjalan lalu daripada anggota perbarisan.

Selesai perbarisan di padang kawad, acara diteruskan dengan Majlis Ramah Mesra di dewan makan pasukan bersama warga 6 RAMD. Dalam ucapan sebentar tadi, beliau menyatakan bahawa penganjuran majlis yang diadakan ini amat bermakna bagi beliau dan isteri yang mana ia dapat memberikan ruang bertemu dan beramah mesra sambil menyingkap kembali nostalgia lalu yang membawa seribu kenangan. Beliau turut menyeru seluruh warga 6 RAMD agar terus memperkukuhkan aspek tradisi, nilai, budaya, etos dan norma ketenteraan yang dilihat akan menjadi landasan kepada kekuatan diri dalam menjadi sebuah angkatan yang mampu mempertahankan kedaulatan negara dari apa jua bentuk ancaman. Majlis diakhiri dengan acara street lining sebagai simbolik penghargaan dan penghormatan daripada pasukan kepada PTD oleh para pegawai & anggota LLP yang hadir bermula dari perkarangan dewan makan sehingga pintu hadapan pasukan.

Turut hadir Mej Jen Dato' Ramli bin Jaafar, Panglima 2 Div; Mej Jen Dato' Hasagaya bin Abdulah, Panglima 3 Div; Mej Jen Datuk Mohd Zakaria Hj Yadi, Panglima 4 Div; Mej Jen Dato' Mardzuki bin Abd Rahman, AKS Sumber Manusia; Brig Jen Dato’ Dzulkarnain bin Ahmad, Pengarah Infantri; Brig Jen Dato' Abd Aziz bin Ismail, Panglima 6 Bgd; Pegawai-pegawai Kanan TD dan Veteran 6 RAMD.