24 Ogos 2019
Kemaskini Akhir: 11 Ogos 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


18111804KUALA LUMPUR: Seramai 30 pegawai dan 1130 anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Semboyan Diraja (RSD) terlibat dalam Perbarisan Pengisytiharan Penstrukturan RSD disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Padang Kawad Kombat pada 15 Nov 2018.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Pengerusi Kor RSD, Mej Jen Dato’ Ahmad Hadiatullah Maknun Hj Ridzuan seterusnya menerima tabik hormat dari Ketua Perbarisan, Kol Ahmad Jais Tasliman diiringi gabungan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan Brass Band Wanita RSD.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan RSD 66 tahun yang lalu ianya bersandarkan kepada sistem komunikasi, teknologi dan fungsi tugas ketika itu bermula sebagai sebuah organisasi yang kecil dan kini telah berkembang serta melangkah menjadi sebuah rejimen yang kredibel, professional serta berkeupayaan tinggi.

Seiring dengan perubahan teknologi serta fungsi tugas semasa, Tentera Darat (TD) telah menstrukturkan semula RSD bersesuaian dengan keperluan pertahanan negara dan pada tanggal 2 Apr 2018 penstrukturan ini telah diluluskan.

Penstrukturan ini melibatkan 29 pasukan penukaran designasi, penubuhan lima pasukan baharu dan pembubaran tiga pasukan bagi menyeimbangi struktur RSD serta memberi peluang yang luas kepada semua pegawai dan anggota untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi dimana sebanyak 102 perjawatan pegawai dan 754 perjawatan LLP baharu telah tersedia.

Pertukaran designasi ini melibatkan enam buah Rejimen Semboyan Divisyen, sebuah Rejimen Semboyan Peperangan Elektronik, sebuah Rejimen Pakar Telekom, 12 buah Skn Semboyan Bgd, sebuah Skn Semboyan Grup Gerak Khas, tiga Tp Semboyan Mekanize dan lima Tp Semboyan Armor.

Tiga pasukan yang dibubarkan adalah 95 RSD yang ditubuhkan pada 1964 dengan nama Woksyop Pangkalan Semboyan dan kemudian ditukar nama kepada 95 RSD pada tahun 1992 yang melaksanakan tugas pembaikan peringkat tiga dan empat sehingga sekarang.

Pasukan kedua dibubarkan adalah Rejimen Semboyan Diraja Medan (AW) yang diberi peranan melatih anggota sukarela dan bakal diambil alih oleh Rejimen Semboyan Divisyen mengikut kawasan tanggungjawab manakala pasukan ketiga ialah 72 Skn Semboyan Diraja yang diberi peranan dan tanggungjawab untuk menyedia komunikasi bantuan udara.

Lima pasukan baharu yang ditubuhkan adalah 96 Rejimen Semboyan Tentera Darat ditugaskan sebagai penyedia komunikasi Markas Tentera Darat, pasukan kedua pula adalah 99 Rejimen Semboyan Peperangan Siber yang akan mengimplimentasikan keperluan siber TD, pasukan ketiga merupakan 72 Rejimen Semboyan Pemerintahan Medan Timur yang akan menyedia dan menyelenggara sistem komunikasi kepada Pemerintahan Medan Timur, pasukan keempat ialah 73 Skn Semboyan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) yang akan menyedia dan menyelenggara komunikasi GAPU dan pasukan kelima yang ditubuhkan adalah 14 Tp Semboyan Mekanize yang akan menyedia dan menyelenggara komunikasi kepada Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanize.

Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera oleh Pegawai Memerintah dan Pemerintah pasukan yang dibubarkan kepada PTD sebagai tanda berakhirnya perkhidmatan ketiga-tiga pasukan.

Seterusnya PTD menyerahkan bendera pasukan-pasukan baharu RSD serta beliau menandatangani ruangan terakhir Buku Lawatan Pasukan yang dibubarkan dan menandatangani muka surat pertama pasukan yang baharu ditubuhkan.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Wira Zamrose Mohd Zain dan pegawai kanan TD.