20 Oktober 2019
Kemaskini Akhir: 14 Oktober 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


25021901MELAKA: Seramai 12 pegawai dan 168 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Kesihatan Diraja (KKD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan sempena Persaraan Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming bertempat di Padang Kawad Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) pada 22 Feb 2019.

Perbarisan ini merupakan simbolik bagi menghargai jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan oleh Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.

Terdahulu dari itu, Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming yang merupakan Pengerusi KKD Ke-11 menerima tabik hormat terakhir dari kontinjen perbarisan terdiri daripada tiga detasmen diketuai oleh Lt Kol (Dr) Nor Amir Zakuan Panizan serta diiringi Platun Serunai Tambur dari Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para).

Acara diteruskan dengan pemeriksaan barisan oleh Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming serta perbarisan berjalan lalu dalam masa perlahan jalan dan cepat.

Mengimbas keperibadian Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Ya’akop Koming, beliau dilahirkan pada 6 Ogos 1959 di Kg Kandang, Melaka serta merupakan bekas pelajar tajaan Biasiswa Pra-Perkhidmatan ATM dan telah ditauliahkan sebagai pegawai perubatan dengan menyandang pangkat Kapt (Dr) dalam KKD.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1984 dan Ijazah Sarjana Kesihatan Awam dari Universiti Malaya pada tahun 1988.

Sepanjang perkhidmatan dalam ATM, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Perubatan Rejimen di pelbagai pasukan serta turut diberi kepercayaan menjawat beberapa jawatan penting dalam Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) berdasarkan prestasi kerja yang amat membanggakan.

Turut hadir Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Pengerusi KKD, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman.