22 November 2019
Kemaskini Akhir: 12 November 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

25021902KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kecekapan risikan dalam menghadapi ancaman keganasan yang lebih kompleks dan mencabar yang mana ancaman peperangan di Malaysia tidak seperti ancaman di negara lain yang kemungkinan akan diserang oleh negara jiran atau kuasa besar.

“Kini persediaan kita tertumpu kepada maklumat perisikan di mana perlu lebih awal lagi mengenal pasti kemungkinan seseorang untuk menjadi pengganas kerana seseorang itu mungkin dilatih atau ada hubungan rapat dengan puak pengganas.

“Di masa ini masalah kita ialah untuk menangani pengganas dan mereka ini bukan kita dapat lihat beruniform serta boleh dikenali dan kita tidak tahu siapa pengganas,” kata Tun Mahathir ketika sesi dialog bersama warga Kementerian Pertahanan sempena lawatan pertamanya sebagai Perdana Menteri ke-7 di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 21 Feb 2019.

Menurutnya, kejayaan memerangi pengganas bukan bergantung kepada keupayaan kita berperang tetapi lebih tertumpu kepada keupayaan kita menyelidik dan mendapat maklumat lebih awal untuk benteras keganasan.

Tambahnya lagi cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pertahanan pada hari ini adalah berbeza semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan pada satu ketika dahulu.

Ancaman yang dihadapi oleh Kementerian Pertahanan pada ketika itu adalah ancaman perang gerila yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) di mana mengakibatkan kos yang tinggi dengan berlakunya serangan oleh PKM di tempat strategik sehingga menganggu gugat usaha pembangunan negara.

Selain itu ancaman komunis turut mengorbankan nyawa dan mencederakan anggota tentera yang bertugas namun kemudiannya PKM telah meletak senjata semasa Perjanjian Hadyai pada tahun 1989 dan suasana negara kembali aman tetapi PM mengingatkan bahawa Malaysia tidak terlepas dari ancaman keselamatan.

Pada masa sama, ancaman yang dihadapi ini adalah berkait rapat dengan kedudukan Malaysia yang strategik dan beliau turut menyatakan kedudukan tersebut memberikan kelebihan kepada negara dari sudut geopolitik serantau dan dunia.

Melihat keadaan dan ancaman semasa, Tun menyifatkan Menteri Pertahanan dan pihak Kementerian Pertahanan Malaysia sedang menggalas tanggungjawab yang besar.

“Menteri Pertahanan pada hari ini memikul tanggungjawab yang lebih berat dalam menghadapi ancaman yang lebih kompleks kerana ancaman berlaku pada setiap masa kerana maklumat pada era globalisasi ini bergerak pantas dan melampaui sempadan,” tegas Tun Mahathir.

Terdahulu dari itu, sebaik ketibaan Tun di Kementerian Pertahanan, beliau menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Mej Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Dalam lawatan itu, PM diberikan taklimat oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengenai bidang fokus utama Kementerian Pertahanan bagi tahun 2019 yang merangkumi Kertas Putih Pertahanan, kebajikan anggota ATM, kesiapsiagaan ATM dan Veteran ATM.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Panglima Hj Zulkifli Hj Zainal Abidin, Timbalan Menteri Pertahahan, Senator Liew Chin Tong serta pegawai-pegawai kanan ATM dan awam Kementerian Pertahanan.