25 Ogos 2019
Kemaskini Akhir: 11 Ogos 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


14031902PERAK: Tentera Darat (TD) melaksanakan dua latihan medan peringkat Briged (Bgd) iaitu di Medan Barat oleh Formasi 6 Bgd dan di Medan Timur oleh Formasi 3 Bgd bagi menilai keupayaan Operasi Tempur dan Logistik dalam melaksanakan fasa ofensif dalam peperangan konvesional.

Seperti yang telah Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi tegaskan, pada tahun ini Eksesais Satria Perkasa mestilah dimanafaatkan sepenuhnya untuk warga TD berlatih sebagai satu kumpulan dan untuk berperang, bukan untuk demonstrasi.

Selain itu eksesais ini merupakan satu latihan kepada warga TD untuk meningkatkan lagi kemahiran dan keyakinan sebagai anggota terlatih bagi mengekalkan kredibiliti dan kesiagaan TD.

“Garis panduan serta prinsip-prinsip yang dicatatkan dalam Doktrin/Manual Latihan TD perlu dipatuhi dan hanya dengan cara itu, penilaian yang tepat serta kelemahan sebenar dapat dikenal pasti.

“Tahun ini merupakan tahun latihan dan penjajaran yang perlu diterjemahkan secara pro-aktif kearah memastikan TD terus unggul menggalas amanah yang diberi,” kata Timbalan PTD, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah dalam ucapannya semasa menyempurnakan Penutup Eksesais Satria Perkasa 6 Briged Siri 1/2019 di Felda Bersia, Gerik pada 10 Mac 2019.

Tambahnya lagi penilaian yang tepat serta kelemahan sebenar dapat dikenal pasti dalam eksesais ini kerana penjajaran yang bakal dilakukan kelak tertakluk kepada hasil post mortem eksesais.

Eksesais Satria Perkasa 6 Bgd dilaksanakan di sekitar kawasan am Kuala Kangsar hingga Gerik melibatkan seramai 164 pegawai dan 3,248 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) dari pasukan dari 6 Bgd  yang mana telah bermula pada 1 Mac sempena Hari TD Ke-86.

Latihan medan ini bertujuan menguji keupayaan Formasi selaku Strike Force dalam peperangan konvensional melibatkan semua pasukan organik Bgd serta unit-unit daripada Trup Divisyen Infantri yang ditumpangkan.

Terdahulu dari itu, sebelum upacara penutup satu fasa serangan Bgd ke atas pertahanan musuh telah dilaksanakan seawal jam 7 pagi yang mana merupakan kemuncak eksesais serta serangan terakhir bagi menewaskan musuh.

Acara perbarisan penutup eksesais melibatkan semua pegawai dan anggota LLP yang terlibat semasa fasa akhir serangan dan diketuai Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Abdul Aziz Hj Ismail.

Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Azizan Md Delin, Panglima 2 Div, Mej Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan pegawai-pegawai kanan TD.