19 September 2019
Kemaskini Akhir: 13 September 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


02041902KEDAH: Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan Radio TRC5200 diiringi Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi bertempat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pada 26 Mac 2019.

TRC5200, radio VHF mudah alih terkini yang dibangunkan Sapura Secured Technologies merupakan teknologi dalam sistem pertahanan yang dibangunkan 100 peratus melalui kepakaran tempatan.

Pelancaran itu penuh dengan simbolik kerana Tun Dr. Mahathir sendiri pernah merasmikan radio mudah alih generasi pertama, TRC5102 pada 20 tahun lalu sewaktu LIMA 1997.

Radio generasi kedua ini mempunyai pemprosesan digital berpretasi tinggi dan penyiaran digital dengan penyulitan terbina bagi memastikan komunikasi yang dibuat selamat dan tidak terdedah dengan kerahsiaannya terjamin.

Peranti ini juga membolehkan perhubungan data antara radio di mana ia membenarkan penghantaran mesej ringkas di antara pengguna.

Antena GPS yang dimiliki alat ini membolehkan markas operasi dan komander untuk menjejaki anggota melalui aplikasi Blue Force Tracking yang dibangunkan secara bersama.

Selain itu, ianya melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama 20 tahun oleh jurutera dan pakar-pakar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata radio tentera itu akan dijual kepada Angkatan Tentera Malaysia dan juga ke pasaran luar negara.

“Ujian lapangan telah dilaksanakan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk ATM, bagaimanapun kami tidak boleh mendedahkan negara mana yang sedang kami berbincang bagi menjual peranti ini kerana tertakluk dengan kerahsiaan.

“Namun, apa yang boleh saya katakan negara berpotensi ini berada di rantau ini, Asia Barat dan juga di Afrika serta produk ini juga dijual dengan kerjasama rakan niaga kami supaya boleh dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin.