20 Ogos 2019
Kemaskini Akhir: 11 Ogos 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

26071904KUALA LUMPUR: Seramai 21 pegawai kanan dari pelbagai Kor Tentera Darat (TD) termasuk empat pegawai sukarela dan lapan Pegawai Tugas Khas TD dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Dewan Tanjung, Wisma Transit pada 23 Jul 2019.

Mendahului senarai, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Nazir Hj Mami yang dinaikkan pangkat daripada Mej Jen ke Lt Jen dan menjawat jawatan sebagai Panglima Medan Barat TD manakala Brig Jen Hashim Aman Shah dipakaikan pangkat daripada Brig Jen ke Mej Jen dan menjawat jawatan Asisten Ketua Staf, Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat kepada dua pegawai kanan yang dinaikkan pangkat daripada Kol ke Brig Jen didahului oleh Kol Abdul Rahman A. Wahab menjawat jawatan sebagai Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia dan Kol Adnan Abu Hassan yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja.

Manakala tiga pegawai dinaikkan pangkat Lt Kol ke Kol, 14 pegawai dinaikkan pangkat Mej ke Lt Kol dan lapan Pegawai Tugas Khas TD dinaikkan pangkat ke Lt M.

Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan bahawa tiada istilah simpati mahupun kebetulan apabila seseorang dinaikkan pangkat sebaliknya ia adalah berdasarkan pengiktirafan dan kelayakan di atas prestasi yang cemerlang serta teruji kredibilitinya.

“Kepada Pegawai Kanan Sukarela dan Kehormat yang dinaikkan pangkat, mainkan peranan masing-masing secara pro-aktif kerana pangkat yang diberi bukan untuk bermegah malah jadikan ia sebagai pemangkin untuk menggerakkan aktiviti di peringkat masing-masing.” tegas PTD.

Beliau juga mahukan Pegawai Kanan Sukarela ini turut gigih membantu mendokong matlamat TD tahun 2019 sebagai Tahun Latihan dan Penjajaran agar dapat menjamin tahap kewibawaan dan kesiagaan Askar Wataniah sebagai barisan kedua pertahanan negara.

Terdahulu PTD turut memakaikan pangkat Kol Kehormat kepada Dato’ Kaya Setia Hj Nazran Muhammad yang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Kelantan, Prof Dr Ahmad Bashawir Hj Abdul Ghani menjawat jawatan sebagai Komandan, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Utara Malaysia.

Bagi kenaikkan pangkat Lt Kol Sukarela pula, Prof Dr Hj Thomas Kana dinaikkan pangkat dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Malaysia Sarawak manakala Datuk Hanafi Sakri dinaikkan pangkat ke Lt Kol Kehormat, menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Melaka.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Mohd Amin Muslan dan pegawai kanan TD.