24 Oktober 2020
Kemaskini Akhir: 19 Oktober 2020.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

 Perbarisan ATM 4
KUALA LUMPUR, 22 Sep 20 - Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menghadiri Perbarisan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-87 yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
Dengan membawa tema 'Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama', acara perbarisan pada tahun ini dilaksanakan mengikut norma baharu dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan berikutan negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam berdepan dengan pandemik COVID-19.
Konsep perbarisan kali ini berkonsepkan perbarisan tempur statik yang melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dalam masa yang sama, perbarisan kali ini turut mempamerkan aset-aset Tempur TDM antaranya adalah PENDEKAR, LIPAN BARA, ADNAN, GEMPITA, Meriam 155mm G5, Rapid Renjer dan X-Band COTP.
Perbarisan tersebut diketuai oleh Lt Kol Mohd Fuad bin Md Ghazali dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat ATM yang diketuai oleh Mej Muhamad Nor Azizan bin Yahya.
 
Perbarisan ATM 6
Turut diadakan semasa perbarisan ini adalah Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara, Penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera kepada wakil Petugas Barisan Hadapan COVID-19 yang terlibat dalam Op PENAWAR dan Op BENTENG. Turut diadakan adalah penyampaian Buku Pelan Anti Rasuah kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan bersempena dengan Pelancaran Pelan Anti Rasuah ATM.
PAT dalam perutusannya menyeru agar seluruh warga ATM memastikan amalan _good governance_ sentiasa dipraktikkan dalam setiap tugasan yang dilaksanakan. Selain itu, beliau berharap agar warga ATM sentiasa bersatu hati dan saling bekerjasama demi mencapai kejayaan dalam setiap tugasan yang diamanahkan.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hasagaya bin Abdullah, Timbalan-timbalan Panglima Perkhidmatan, Pegawai-Pegawai Kanan serta anggota ATM dan TDM.