24 Oktober 2020
Kemaskini Akhir: 19 Oktober 2020.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

BARIS 100 1Perbarisan Sempena 100 Hari Pemerintahan Panglima Tentera Darat (PTD) ke-28 telah berlangsung di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan pada 25 September 2020. Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menyampaikan amanat beliau selepas 100 hari dilantik menjadi Panglima Tentera Darat ke-28 pada 11 Jun 2020 yang lalu.
Perbarisan statik terdiri daripada 109 pegawai dan 827 anggota Lain-Lain Pangkat terdiri daripada beberapa detasmen iaitu Detasmen Tempur, Detasmen Bantuan Tempur, Detasmen Bantuan Khidmat, Detasmen 21 GGK, Detasmen 10 Bgd (Para) dan satu Detasmen Wanita Tentera Darat. Perbarisan tersebut diketuai oleh Brigedier Jeneral Anuar bin Abdul Wahab, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia. Penolong Ketua Perbarisan adalah Kolonel Norulhisyam bin Md Shuib, manakala Ajutan Perbarisan adalah Lt Kol Mohd Nasri bin Abu dan Sarjan Mejar Rejimen Perbarisan adalah Pegawai Waran I Suhardi bin Sueaid. Pancaragam yang mengiringi perbarisan adalah gabungan dari Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Armor Diraja dan Brass Band Wanita Tentera Darat yang dipimpin oleh Mej Zaiful Azman bin Zainol Abidin. Turut dipamerkan adalah aset ketenteraan iaitu dua buah kenderaan 8x8 GEMPITA, dua buah LIPAN BARA, dua buah meriam 155mm G5, dua buah Pelancar Roket Berganda ASTROS, dua buah Rapid Ranger dan dua buah Kenderaan Pembawa Senjata GK MK 1 Gatling Gun.
Perbarisan dilaksanakan secara statik dengan penjarakan anggota sesuai dengan norma baru serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan. Anggota perbarisan dan tetamu tentera yang hadir dikehendaki menggunakan _hand sanitizer_, menjalani saringan suhu serta mengamalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter. Setiap anggota perbarisan memakai penutup mulut. Perbarisan tersebut turut disiarkan melalui siaran Facebook Live TDM. Ini membolehkan kesemua peringkat warga TDM di seluruh negara dapat mendengar amanat yang disampaikan oleh PTD.
PTD di dalam ucapannya telah menyatakan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang 100 hari pemerintahan berdasarkan perintah ulung beliau yang menggariskan Tiga Prinsip dan Lima Tonggak (3P 5T). Antara pencapaian utama yang telah dilaksanakan berdasarkan Perintah Ulung PTD Ke-28 adalah seperti berikut:
1. Tonggak Satu iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan. Bagi peningkatan keupayaan, fokus utama TDM adalah untuk meningkatkan kesiagaan. Perolehan peralatan baharu dibuat mengikut keutamaan dan aset sedia ada perlu diselenggara dengan baik.
2. Tonggak Dua iaitu Keutuhan Organisasi. Dalam meningkatkan Integriti Warga TDM, organisasi ini telah mewujudkan buku Pelan Anti Rasuah bagi tempoh 2021-2025. Ia bertujuan sebagai panduan dalam membudayakan amalan integriti dan etos ketenteraan.
3. Tonggak Tiga iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga. TDM dalam proses melaksanakan Peningkatan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT). Perkara tersebut telah diselaraskan bersama Kementerian Pertahanan. Menteri Kanan Pertahanan turut mengumumkan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk memberi tumpuan kepada aspek tersebut.
4. Tonggak Empat iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan. Perkongsian Maklumat Pertahanan antara negara luar tetap diteruskan melalui kaedah berbeza antaranya adalah melalui telefon dan tele conference meskipun negara kini berdepan dengan pandemik COVID-19. Selain itu, pendekatan berkomunikasi dan kunjungan hormat bersama Penasihat Pertahanan Luar Negara yang berada di negara ini, turut dilaksanakan untuk mempertingkatkan hubungan pertahanan.
5. Tonggak Lima iaitu Peningkatan Hubungan TDM Dengan Awam. Kerjasama TDM dengan agensi kerajaan yang lain seperti PDRM, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia berjalan dengan baik. Ini terbukti semasa pelaksanaan OP PENAWAR dan OP BENTENG.
 
BARIS 100
Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Pemantau telah ditubuhkan bagi memantau strategi dan pelan tindakan di peringkat Markas Tentera Darat supaya model 3P dan 5T ini tidak bersifat retorik. Ia berfungsi untuk mengkaji, merancang, mengimplementasikan, evaluasi dan laksana kajian semula strategi dan pelan tindakan mengikut perubahan semasa.
Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato' Nazari bin Abd Hadi, Pegawai-Pegawai Kanan TDM dan warga Tentera Darat.