logomy

TENTERA DARAT SATU, KERANA BERSATU

21 October 2017
Kemaskini Akhir: 19 Oktober 2017.

A-  A  A+   benderaUS64    lainbahasa2

26

JENERAL TAN SRI DATO’ SRI ZULKIPLE BIN HJ KASSIM

PGAT PSM PJN SSAP DPPN PSAT DGMK DPMK DSAP DIMP DSMZ DPKK PMW PAT JSM SDK SMZ
KMN AMP AMT MSc (Mgt) fadc psc

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Zulkiple bin Hj Kassim telah dilahirkan di Gong Kapas, Terengganu pada 24 Februari 1959. Beliau telah menjalani latihan di Akademi Tentera Diraja, Sandhurst, England sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1977 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di dalam Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 7 April 1978. Jeneral Dato' Sri Zulkiple bin Hj Kassim merupakan lulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia.

Pada awal kerjayanya, Jeneral Dato' Sri Zulkiple bin Hj Kassim telah terlibat dalam pelbagai operasi menentang pemberontakan komunis yang kebanyakannya adalah di sempadan Utara Semenanjung atau di negeri Pahang. Di sepanjang 39 tahun perkhidmatannya, beliau telah  menjawat pelbagai jawatan penting termasuklah sebagai Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Pegawai Muda (1982), Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (1994), Pegawai Memerintah Batalion Ketujuh Belas Rejimen Askar Melayu Diraja (Para) (1994), Pembantu Ketenteraan kepada Menteri Pertahanan (1998), Pegawai Memerintah Batalion Kesepuluh Rejimen Askar Melayu Diraja di Johor Bahru (2000), Pengarah Infantri (2001), Panglima 4 Briged (Mekanize) (2003), Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (2005), Panglima 4 Divisyen (2007) dan Panglima Medan Barat Tentera Darat pada tahun 2011. Pada tanggal 16 Disember, beliau telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat Jeneral dan menjawat jawatan Panglima Tentera Darat Ke-26.

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim juga telah mengikuti pelbagai pengajian/kursus di dalam dan juga di luar negara seperti Army Command and Staff College (1992) dan Defence and Strategic Studies Course (1999) yang mana kedua-duanya dihadiri di Australia.

Sebagai menghargai perkhidmatan yang telah dicurahkan kepada negara, Jeneral Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim telah dianugerahkan dengan pelbagai pingat dan anugerah termasuklah Panglima Setia Mahkota (PSM), Panglima Jasa Negara (PJN), Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Darjah Gemilang Seri Mahkota Kedah (DGMK), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), Dato’ Paduka Mahkota Kedah (DPMK), Dato’ Paduka Kesatria Mahkota Kelantan (DPKK), Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (DSMZ) dan Panglima Mahkota Wilayah (PMW).

Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim telah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Datin Sri Zaleha binti Md Yusof dan dikurniakan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Beliau gemar bermain pelbagai jenis sukan terutamanya golf dan bola sepak.