logomy

TENTERA DARAT SATU, KERANA BERSATU

21 Februari 2018
Kemaskini Akhir: 19 Februari 2018.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


PercubaaannnKUALA LUMPUR: Ribuan rakyat dari pelbagai bangsa dan agama hadir bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 yang bertemakan Negaraku Sehati Sejiwa bersesuaian dengan semangat serta rasa cinta terhadap negara yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia serta turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V yang berkenan mencemar duli berangkat ke Dataran Merdeka pada 31 Ogos 2017.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) seterusnya diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang dan diiringi nyanyian lagu kebangsaan Negaraku disusuli dengan 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Sambutan merdeka pada kali ini amat berlainan dari tahun-tahun sebelum dimana Dataran Merdeka telah dibawa kembali pada persekitaran tahun 1957 yang seakan-akan seperti dalam Stadium Merdeka dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak melaungkan ungkapan keramat laungan merdeka serta turut memilih gaya pemakaian seperti Bapa Kemerdekaan yang juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Landskap Dataran Merdeka turut diubah suai seolah-olah mengembalikan suasana 60 tahun lalu bagi mengimbau nostalgia sambutan Hari Kemerdekaan pada tarikh  keramat 31 Ogos 1957 yang mana pada waktu itu Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan dan menjadi negara berdaulat dan bebas daripada penjajahan serta pentadbiran British.

Beberapa individu istimewa turut dibawa khas ke Dataran Merdeka iaitu dua pesara Tentera Laut Diraja Malaysia yang ditugaskan menaikkan bendera Malaysia buat pertama kali ketika itu oleh Lt Komander (B) Mohd Sharif Kalam dan Pegawai Waran I  (B) Oliver Culvelt Samuel dan Rusnah Aksah gadis yang berusia 12 tahun ketika diamanahkan melepaskan 101 ekor burung merpati di Stadium Merdeka pada 16 Sep 1963 bersempena pengisytiharan pembentukan Malaysia namun berbeza pada kali ini beliau melepaskan 60 ekor burung merpati sebagai simbolik 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Selain itu beberapa individu lain yang  menjadi jemputan istimewa adalah waris kepada tokoh pejuang kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman, Tun V T Sambathan, Tun Juggah anak Barieng dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Majlis sambutan penuh gilang-gemilang itu dijayakan 18,076 peserta termasuk gabungan 400 peserta kumpulan pancaragam terbesar yang mengiringi setiap acara persembahan berterusan selama empat jam terdiri daripada 11 agensi unit beruniform antaranya kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada 3300 anggota tampil dengan pakaian seragam mengikut era bersama aset terbaharu kereta perisai mobiliti tinggi yang dikenali sebagai Lipan Bara.

Terdahulu dari itu persembahan kawad formasi dari ATM yang melibatkan 1000 anggota berjaya memukau perhatian penonton yang hadir dengan pelbagai bentuk formasi berkenaan kemerdekaan serta acara perbarisan  dan perarakan turut menampilkan 10 segmen utama daripada komponen kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan 2017, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammudin  Tun Hussein dan menteri-menteri kabinet.