logomy

TENTERA DARAT SATU, KERANA BERSATU

23 January 2018
Kemaskini Akhir: 22 Januari 2018.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2


19121701KUALA LUMPUR: Tim ME-Creator dari Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) mengharumkan nama Tentera Darat (TD) apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Bidang Inovasi Sosial – Penambahbaikan dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan Tahun 2017 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharum di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 14 Dis 2017.

Tim ini melakukan projek bertajuk Spider Heavy Wheel Carrier yang merupakan alat bagi tujuan untuk memudahkan kerja membuka, mengangkat, memasang dan menetapkan roda kenderaan berat pada kenderaan yang melebihi tiga tan lalu dapat menjimatkan masa, tenaga serta menjamin keselamatan orang yang melaksanakan kerja-kerja membuka dan memasang roda kenderaan berat.

Pertandingan kali ini bertemakan Inovasi Menunjangi Aspirasi TN 50 yang bertujuan mendukung hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kompetitif dalam inovasi ke arah mencapai status kelompok 20 negara-negara hebat berinovasi menjelang tahun 2050.

Dalam ucapan Timbalan MENHAN, beliau mahukan penjawat awam khususnya warga Kementerian Pertahanan  dapat melahirkan cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam pelbagai aspek kerja agar dapat meningkatkan kualiti serta produktiviti organisasi untuk mencipta produk baharu dan menginovasikan produk sedia ada untuk disesuaikan bagi diguna pakai mengikut jabatan serta mampu membawa tranformasi kepada budaya kerja sedia ada.

“Cabaran bagi membudayakan kreativiti dan inovasi dalam organisasi merupakan satu tanggungjawab besar serta memerlukan komitmen semua pihak ke arah merealisasikan matlamat ini yang mana usaha pembudayaan inovasi dan kreativiti perlu dipupuk serta dihayati.

“Selain itu, salah satu pendekatan yang boleh digunakan ialah kolaborasi dalam berinovasi  iaitu budaya silo di antara jabatan atau agensi boleh dihapuskan dalam mewujudkan jalinan usahasama strategik dan kerjasama berpasukan melibatkan elemen seperti penggunaan sumber dan fasiliti yang optimun, perkongsian maklumat serta persefahaman bagi menghasilkan inisiatif yang berimpak tinggi,” tegasnya.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan pada tahun ini menyaksikan Bahagian Komunikasi dan Sistem Informasi Markas Tentera Laut dinobatkan Johan dalam Kategori Bidang Inovasi Sosial Penciptaan, Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace TUDM Johan dalam Inovasi Penyampaian Perkhidmatan-Penambahbaikan manakala Jabatan Latihan Khidmat Negara Johan KIK Hibrid Inovasi Penambahbaikan dan Pusat Latihan PSSTLDM KD Sri Pinang dinobatkan Johan bagi Kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan-Penciptaan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Hj Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.