Utama | PENGENALAN | Srikandi Askar Wataniah

KAJI SELIDIK

Adakah Laman Web Ini Memenuhi Kehendak Anda?
 

AKAN DATANG ...

Lembaga Pemilihan Kerahan akan diadakan pada bulan Sept 2014 di Rej 506 (AW)

Srikandi Askar Wataniah PDF Print E-mail

 

SRIKANDI ASKAR WATANIAH



Penyertaan wanita secara rasmi dalam Tentera Darat bermula pada awal tahun 1964, Tan Sri Zainun bte Sulaiman (Ibu Zain) seorang pejuangtanahair dan ahli parlimen ketika itu membawa usul di parlimen supaya kerajaan menubuhkan tentera wanita dan mendapat sokongan daripada ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO itu di Negeri Johor di bawah pimpinan Datin Fatimah bte Abdul Majid dan merebak ke negeri-negeri lain seperti Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan lain-lain.

     Pada bulan November 1964, Barisan Tentera Sukarelawan Wanita seramai 150 orang yang diketuai oleh Datin Fatimah Abdul Majid dan dibantu oleh Ibu Zain telah dilatih oleh pihak tentera di Kem Majidee Johor Bahru pada tiap-tiap hari Rabu di antara jam 4.30 petang hingga 6.00 petang.

 

     Berikutan dengan keperluan Angkatan Tentera Malaysia, Askar Wataniah disusun lagi dan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pasukan Infantri dan Pasukan Pertahanan Tempatan (LDC) Askar Wataniah. Sejarah awal penglibatan wanita dalam pasukan sukarela ialah dengan tertubuhnya Pasukan Semboyan Wanita.

 

Pengambilan rekrut wanita dengan rasminya dijalankan pada awal tahun 1965. Ramai wanita telah berminat menyertai Pasukan Askar WataniahWanita dengan menganggotai Pasukan Pertahanan Tempatan (Askar Wataniah) di negeri masing-masing. 

 

            Pasukan Semboyan Wanita ditubuhkan sejajar dengan Pasukan Pertahanan Tempatan (LDC) Askar Wataniah bertujuan untuk melatih pranita menjadi tukang masak, operator telefon, operator teleprinter, cipher operator, jururawat di Hospital Kinrara dan Trendak, kerani, jurutaip dan pemandu kenderaan ringan. Sebelum pranita dilatih khas  dalam bidang tersebut, mereka telah dihantar menghadiri latihan rekrut di Pusat Latihan Askar Wataniah (PLAW) di Kem Seputih, Ipoh, Perak.

 

            Pada akhir 1966, Seramai 47 orang pegawai dan 1077 lain-lain pangkat telah dilatih. Anggota-anggota Sukarela wanita ini terdiri daripada pelbagai bidang pekerjaan seperti suri rumah, kerani, jurutaip, guru, operator telefon, setiausaha, petani, peniaga dan lain-lain serta terdiri daripada pelbagai keturunan Melayu, Cina, India, Serani dan lain-lain. Apabila konfrontasi Malaysia - Indonesia tamat, kira-kira 750 orang anggota Sukarela wanita ini masih berkhidmat.

 

            Perkembangan sukarelawati ini bertambah lagi apabila satu kursus Bakal Pegawai Sukarela diadakan di Pusat Latihan Askar Wataniah di Kem Seputih, Batu Gajah, Perak pada tahun 1966. Seramai 43 orang sukarelawati dari seluruh negara telah dipilih untuk menghadiri kursus selama sebulan dan hanya 6 orang sahaja yang berjaya dan ditauliahkan oleh menjadi Pegawai Sukarela Askar Wataniah. Antara ialah Lt M Habibah bte Baharom, Lt M Chan Choo Ping, Lt M Ning bte Mahabi, Lt M Tan  Kit Kuang, Lt M Pah Aminah bte Syed Ali, Lt M Wan Azinar bte Nasaruddin.

 

             Selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969 kekuatan Angkatan Tentera Darat telah ditambah. Justeru itu, mana-mana anggota Sukarela wanita yang terlatih dan berkebolehan telah dikerah sepenuh masa bagi mengisi kekosongan. Lt Ning bte Mahabi yang dikerah pada 1 Julai 1970 telah ditempatkan di Pusat Latihan Askar Wataniah dan kemudian di Kementerian Pertahanan sebagai Pegawai Turus. Berikutnya pada bulan September 1970 beberapa orang sukarelawati telah dikerah sepenuh masa untuk mengisi perjawatan seperti kerani, jurutaip dan jururawat.

 

     Pada awal tahun 1982 anggota -anggota wanita seramai 43 pegawai dan 983 lain-lain pangkat yang dikerah sepenuh masa berkhidmat dengan pelbagai pasukan, Briged, Divisyen dan Kementerian Pertahanan. Pada tahun 1973, seramai 4 orang pegawai kerahan wanita ini telah diserap menjadi anggota Tetap tentera dan dianugerahkan Tauliah Jangka Pendek oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Mereka ialah Mej Ning bte Mahabi, Kapt Ramlah bte Long, Kapt Zainon bte Mansor dan Kapt Sharifah Fatimah bte Syed Ibrahim.


     Pada 25 September 1977 pengambilan secara terus seramai 30 orang wanita lepasan sekolah menengah untuk dilatih selama 3 bulan di Pusat Latihan Askar Wataniah (PLAW) di Ipoh, Perak telah dijalankan. Apabila berjaya mereka terus ditauliahkan dan dikerah sepenuh masa dalam Tentera Darat.

 

    Anggota-anggota sukarelawan wanita yang berminat dalam bidang rawatan telah dihantar ke Hospital Trendak, Melaka dan Hospital Kinrara, Selangor untuk menjalani latihan jururawat. Kini ramai di antara mereka telah diserap ke jawatan tetap dan bertugas sebagai jururawat-jururawat di hospital-hospital dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera.


PENGLIBATAN WANITA DALAM PASUKAN SUKARELA

 

Markas Rejimen Semboyan Medan telah ditubuhkan pada 20 Disember 1972 di Imphal Kem. Rejimen semboyan ini terdiri daripada beberapa skuadron (Skn) di antaranya Skuadron Semboyan ke-11 (Askar Wataniah) yang telah ditubuhkan pada 1 Januari 1965. Pengambilan rekrut sukarelawati pertama di Skuadron tersebut seramai 100 orang bermula pada tahun 1965. Rekrut ini telah diberikan latihan asas di Kem Seputih.


               Pada bulan Ogos 1966, dua orang sarjan telah dipilih mengikuti kursus Bakal Pegawai iaitu Sarjan Habibah bte Baharom dan Sarjan Doris Chan Cheong Ping. Mereka telah ditauliahkan pada tahun 1967 sebagai Pegawai Sukarela dan dilantik menjadi Ketua Terup di Skn Semboyan ke-11 (Askar Wataniah).

 

         Walaupun pengambilan rekrut telah dibuat pada tahun enam puluhan sebagai sukarelawati tetapi kerahan sepenuh masa hanya bermula pada tahun 1977. Antara pegawai-pegawai yang dikerah ialah Kapt Doris Chan Cheong Ping, Lt M Siti Zahrah bte Maulud dan Lt M Halimah bte Ali Kasa. Manakala anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang dikerah pada tahun 1977 ialah seramai 16 orang, 1978 seramai 31 orang, 1979 seramai 40 orang, 1980 seramai 31 orang, 1981 seramai 69 orang dan tahun 1982 seramai 26 orang.

 

       Sesuai dengan keperluan negara dan pembesaran Tentera Darat Malaysia pada awal tahun 1980, pentadbiran Kor Askar Wataniah telah diubahsuai dan disusun semula. Dengan pentadbiran baru tersebut, Rej Siri 500 (AW) ditubuhkan dan 20% dari anggota siri rejimen ini terdiri daripada sukarelawati. Begitu juga dengan Pasukan Teknikal Pasukan Simpanan Tentera Darat yang juga mempunyai anggota terdiri daripada sukarelawati.

 

          Rej 501 PSTD ditubuhkan pada 7 Februari 1980 iaitu selepas Pasukan Pertahanan Tempatan (LDC) Johor dibubarkan. Sambutan orang ramai terhadap penubuhan Rej 501 PSTD begitu menggalakkan. Begitu juga dengan sambutan kaum wanita apabila seramai 45 orang sukarelawati telah mengikuti Kursus Asas Rekrut Wanita Pertama yang diadakan pada 20 Ogos hingga 18 September 1980.

 

            Di awal penubuhan Rej 502 PSTD sejumlah lebih dari 400 orang sukarelawati telah menjalani latihan mingguan. Pada awal tahun 60-an terdapat kekurangan dalam pertahanan Angkatan Darat, oleh itu Menteri Pertahanan telah mengarahkan supaya Pasukan Pertahanan Tempatan (LDC) Selangor mengambil seberapa ramai sukarelawan.

 

        Dalam kumpulan tersebut terdapat 90 orang sukarelawati yang berminat untuk menceburkan diri di lapangan ketenteraan. Rejimen ini telah membuat satu sejarah yang gilang-gemilang apabila berjaya mengadakan satu Latihan Rekrut di Pusat Latihan Belia di Dusun Tua di mana seramai 200 orang pranita telah mengambil bahagian.

 

           Apabila ditubuhkan PALAPES PSTD di Pusat-Pusat Pengajian Tinggi seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Institut Teknologi Mara, ramai mahasiswi turut menyertai pasukan ini dan mereka dilatih dan didedahkan dengan pelajaran ketenteraan berterusan selama 3 tahun yang sama taraf kelulusan dan fungsinya dengan Maktab Tentera DiRaja, Sungai Besi.

 

               Di bidang kesenian pula, anggota kerahan wanita PSTD juga bergerak maju di lapangan seni suara dan tariannya dengan Orkestra Tentera Darat (OTD) dan juga Kombo D' ASWA.

 

            Seorang sukarelawati, 117846 PW I Che Mah bte Musa telah berjaya mencapai tahap tertinggi dalam perjawatan lain-lain pangkat, iaitu pangkat PW I dan menjadi SMR wanita yang pertama dalam Askar Wataniah pada 01 Mac 1997. Sepanjang penglibatan selama 30 tahun, beliau bergiat aktif dan sentiasa mebabitkan diri di dalam perbagai aktiviti pasukan.

 

 

 

 

atm-2

KEMENTAH 

atm-2

ATM 

mab-2

MAB

tldm-2

TLDM

tudm-2

TUDM

jhev-2

JHEV

perhebat-2

PERHEBAT

mygov-2

MY GOV