20 Oktober 2019
Kemaskini Akhir: 14 Oktober 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

ptd27

JENERAL TAN SRI DATO’ SERI PANGLIMA HJ AHMAD HASBULLAH BIN HJ MOHD NAWAWI

PSM PJN SPTS DCSM PSAT DGMK DPMS DSAP DMPN DPMK PAT JSM KAT KMN AMK PJM PPS
usawc mpat plsc (Canada) MA (Lancaster) MSS (USAWC)

Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak.  Setelah menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah, beliau memohon untuk mengikuti latihan Pegawai Kadet dan telah dipilih mengikuti latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia. Beliau telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981.

Sepanjang kerjaya, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah melaksanakan  tugas-tugas pemerintahan, staf di pasukan dan markas formasi serta sebagai jurulatih. Beliau berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis di sempadan tanah air sehinggalah perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989.  Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi  telah diamanahkan untuk memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja pada tahun 1995. Kesinambungan tugas sebagai pemerintah diteruskan apabila dilantik sebagai Panglima 11 Briged pada tahun 2005, Panglima 3 Div pada tahun 2007, sebagai Panglima Medan Tentera Darat pada tahun 2009 dan Timbalan Panglima Tentera Darat pada tahun 2011. Beliau seterusnya telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 3 September 2018.

Bagi pendedahan di peringkat staf pula, beliau pernah menyandang beberapa tugas utama iaitu Pegawai Staf 1 Tadbir di Markas Tentera Darat, Ketua Staf Markas 11 Briged, Kol Latih, dan kemudiannya, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan di Cawangan OPLAT, Markas Tentera Darat.  Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi merupakan satu-satunya Pegawai Infantri yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan ATM iaitu dari 1 April 2001 hingga 17 April 2003. Semasa menerajui Jabatan Arah Pendidikan, beliau telah sama-sama berperanan dalam mengubah dasar Skim Pengajian Tinggi ATM iaitu apabila cuti melanjutkan pengajian bergaji penuh diluluskan kepada warga ATM untuk semua tahap pengajian dan Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dengan Universiti Terbuka Malaysia. Beliau juga terlibat secara langsung dalam proses mewujudkan Skim Tabung Pinjaman Akademik dan Pengajian Tinggi ATM (TAPAT) dan Skim Pinjaman Akademik Anak Tentera (SPAAT) yang dinikmati oleh warga ATM sehingga kini. Dalam bidang kejurulatihan pula, beliau pernah ditugaskan sebagai jurulatih di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson pada tahun 1986 dan Juruarah di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) pada tahun 1993.

Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah mengikuti pelbagai kursus profesional di dalam dan luar negara. Antaranya ialah di Australian Infantry Centre, Singleton, US Army Infantry School, Fort Benning, Georgia, Canadian Land Forces Command and Staff College dan US Army War College (USAWC). Beliau mempunyai kelulusan Diploma in Training and Development daripada Leicester University, UK, Master in International Relations and Strategic Studies (Lancaster) dan Master of Strategic Studies (USAWC).  Beliau telah terpilih sebagai Peserta Terbaik Akademik dan dianugerahkan Hadiah Lembaga Maktab semasa menghadiri Kursus di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) pada tahun 2000. Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi juga telah menghadiri Senior Executives in National and International Security Course di Harvard Kennedy School, Amerika Syarikat pada tahun 2013.

Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi telah dianugerahkan tiga orang cahayamata bersama isteri Puan Sri Datin Seri Noor Akmar binti Yaacob.  Hobi beliau ialah membaca, menembak dan bersukan.