17 November 2019
Kemaskini Akhir: 12 November 2019.
A- A A+

merah biru ungu   benderaUS64  lainbahasa2

tptd

LEFTENAN JENERAL DATO' HASAGAYA BIN ABDULLAH
PSAT DSAP DMSM PAT JSM KAT KMN PJM PNBB (Cambodia) PPS MDef Studies (Canberra) MSS in Def Studies (UKM)
MSc National Security and War Studies (NDU Islamabad) nswc mpat psc

Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah telah dilahirkan pada 1 November 1963 di Segamat, Johor. Beliau menerima pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Dato’ Bentara Dalam dan Sekolah Tinggi Segamat, Johor Darul Takzim. Beliau telah menyertai Tentera Darat Malaysia (TDM) pada 1 Disember 1981 dan mengikuti latihan Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson, Negeri Sembilan. Setelah setahun menjalani latihan, beliau telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 18 Disember 1982.

Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah mempunyai pengalaman yang luas dalam perkhidmatan dan pernah memegang pelbagai perjawatan pemerintahan, staf serta kejurulatihan sepanjang berkhidmat selama 37 tahun. Sebagai seorang Pegawai Infantri, beliau telah memulakan langkah dalam perkhidmatan sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-6 RAMD mulai tahun 1983 hingga 1986. Beliau kemudiannya telah mengorak langkah dan diberi tanggungjawab memegang jawatan sebagai Ketua Kompeni di Batalian Ke-9 RAMD (Para) dari tahun 1997 hingga 1998 dan Pegawai Memerintah Batalion Ke-17 RAMD (Para) dari tahun 2003 hingga 2004. Kecemerlangan beliau sebagai pemerintah diteruskan lagi apabila beliau telah dilantik menggalas pelbagai tugasan yang penting seperti Timbalan Panglima 10 Briged (Para) mulai tahun 2008 hingga 2010, Panglima Briged Ke-3 Infantri pada tahun 2011 dan 2012, Panglima Briged ke-30 Infantri mulai tahun 2013 hingga 2014, Panglima 10 Briged (Para) dari tahun 2015 hingga 2016 dan Panglima Divisyen Ke-3 Infantri mulai tahun 2016 hingga 2018. Pada 19 September 2018, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat Ke-24.

Bagi cabang penugasan staf, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pegawai Staf 2 Gerak di Markas 10 Briged (Para) pada tahun 2000 dan 2001, Pembantu Ketenteraan kepada Panglima Medan Tentera Darat dari tahun 2001 hingga 2002, Pegawai Staf 1 Sumber Manusia di Cawangan Sumber Manusia mulai tahun 2004 hingga 2005, Pegawai Staf 1 Infantri di Jabatan Arah Infantri pada tahun 2007, Pengarah Sekretariat di Markas Tentera Darat pada tahun 2010 dan 2011, dan Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Darat mulai tahun 2014 hingga 2015. Beliau turut pernah berkhidmat di Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Latihan Pertahanan pada tahun 2018. Dalam bidang kejurulatihan pula, beliau telah berkhidmat sebagai Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, dari tahun 1990 hingga 1994. Hasil daripada prestasi yang cemerlang, beliau telah terpilih dalam Program Pertukaran Pegawai Tentera Darat sebagai Jurulatih di Sekolah Infantri, Waiouru, New Zealand, selama 2 tahun mulai tahun 1995 hingga 1996.

Pengalaman Operasi dan Latihan yang pernah disertai oleh Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah pula antaranya ialah operasi di sempadan Malaysia - Thailand antara tahun 1983 sehingga 1996 khususnya OP KOTA FOXTROT/ECHO dan OPS INDERA di Pahang dalam membanteras pengganas komunis. Di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau pernah menabur bakti sebagai Pemerhati Tentera di Kemboja (PBB - UNTAC) pada tahun 1993. Beliau juga pernah dilantik sebagai Komander Operasi Tentera di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang melibatkan kerjasama keselamatan di antara ATM dan PDRM semasa Persidangan Kemuncak ASEAN 2015. Dalam aspek latihan bersama dan gabungan, beliau telah memikul amanah sebagai Staf Perancang Eksesais bagi Exercise Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) di antara ATM dan US Marines Corps dan Exercise LATGABMA MALINDO DARSASA di antara TDM dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat pada tahun 2000 dan 2001. Pada tahun 2008, beliau telah sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Pengarah Eksesais bagi Exercise CARAT dan juga Exercise LAND MALPHI di antara TDM dan Tentera Darat Filipina pada tahun 2012.

Sementara itu, sepanjang perjalanan kerjaya beliau, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah telah mencapai pelbagai kejayaan yang gemilang dalam bidang akademik. Beliau telah berjaya memiliki Master of Defence Studies dari University of Canberra, Australia; Master of Social Sciences in Defence Studies dari Universiti Kebangsaan Malaysia; dan Master of Science in National Security and War Studies dari National Defence University, Islamabad, Pakistan. Antara kursus-kursus ketenteraan dalam dan luar negara yang pernah beliau hadiri ialah RF Anti-Armoured Course di New Zealand (1987); Kursus Ketua Kompeni di PULADA (1990); Advanced Company Commander Course di School of Infantry, Singleton, Australia (1991); Kursus Taktik Semua Perkhidmatan di PULADA (1997); Australian Army Command and Staff Course di Fort Queenscliff, Australia (1999); Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera di Kuala Lumpur (2006); Advanced Security Cooperation Course di Asia Pacific Centre for Security Studies, Hawaii, Amerika Syarikat (2009); National Security and War Course di National Defence University, Islamabad, Pakistan (2012-2013); and High Defence Studies Course for Senior Officers Asia Pacific di Madrid, Spain (2015).

Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya bin Abdullah telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Norhanita binti A. Hamid dan telah dikurniakan dengan 5 orang cahaya mata. Aktiviti kegemaran beliau ketika masa lapang ialah membaca dan beriadah.