WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

 

Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan pada 22 September 1962. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sek Menengah Kebangsaan Tunku Besar Tampin mulai Tingkatan 1 hingga 3 dan seterusnya ke Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 1978. Kerjaya beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia bermula apabila menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Maktab Tentera Diraja (MTD) pada tahun 1980. Beliau seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan menyertai Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai unit pertamanya pada 24 Januari 1981.

Di sepanjang perkhidmatannya, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting di peringkat Tentera Darat mahupun Angkatan Tentera Malaysia sebagai pemerintah, staf dan jurulatih. Antara perjawatan yang disandang termasuklah Pegawai Memerintah, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (2002-2003), Ketua Staf, Markas Briged Kesebelas Infantri Malaysia (2003-2005), Juruarah di Maktab Turus Angkatan Tentera (2005-2006), Komandan Kolej Tentera Darat (2006-2008), Panglima Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (2009-2012), Ketua Staf Am Markas Medan Tentera Darat (2012-2014), Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Markas Tentera Darat, Cawangan OPLAT (2014-2015), Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (2015-2016), Ketua Tim Pemerhati Midanao 11 Filipina (2016-2017) dan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Anggota (2017-2018), Panglima Medan Timur Tentera Darat (2018-2020). Pada tanggal 11 Jun 2020, atas kecemerlangan yang ditunjukkan, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk dinaikkan ke pangkat Jeneral dan seterusnya menjawat jawatan Panglima Tentera Darat ke-28.

Dalam menentukan kecemerlangan pendidikan dan pengetahuannya, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah mengikuti beberapa kursus/pengajian di dalam dan juga di luar negara. Antara kursus utama yang dihadiri adalah Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan, Universiti Malaya (1996), Sarjana Kajian Dasar dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (2001), Managing Defence in a Democracy Course di United Kingdom (2007) dan National Defence College (ndc) di Thailand (2008-2009).

Sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menerima pelbagai Darjah Kebesaran, Pingat dan Anugerah antaranya Darjah Panglima Setia Di-Raja (PSD) yang membawa gelaran Datuk (Persekutuan), Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira (Melaka), Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ (Pahang) dan Darjah Dato’ Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran Dato’ (Negeri Sembilan).

Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Zainuriah binti Hj Mustapha, seorang suri rumah dan dikurniakan 6 orang cahaya mata iaitu 5 perempuan dan seorang lelaki. Waktu lapang beliau sering digunakan untuk membaca dan mengembara manakala sukan kegemarannya adalah golf.