WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
KEBAJIKAN2
KUALA LUMPUR, 13 Januari 2021 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah menyantuni tiga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Kor Ordnans Diraja yang berkhidmat di Kem Batu Kentonmen. Lawatan kebajikan tersebut diadakan bersempena dengan Perbarisan Penghargaan Brigedier Jeneral Hj Ismail bin Hj Mogiri yang telah diadakan pada 12 Jan 21.
 
Lawatan kebajikan pertama yang disantuni oleh Tan Sri PTD adalah anak kedua kepada Staf Sarjan Zarizad bin Rahmat yang berkhidmat di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP), Kem Batu Kentonmen. Staf Sarjan Zarizad bin Rahmat telah berkahwin bersama Puan Norhasedah binti Jamal dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.
 
Adik Zuhairy Muizz bin Zarizad yang berumur 7 tahun telah dilahirkan pada 23 Nov 13 di Hospital Selayang secara normal. Adik Zuhairy dikesan mempunyai autisme ketika berusia 8 bulan. Sehingga kini, adik Zuhairy masih menerima rawatan 3 kali sebulan untuk pemeriksaan pakar dan fisiologi. Adik Zuhairy Muizz telah dihantar ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Taman Wahyu, Jalan Ipoh dalam usaha meningkatkan tahap pembelajarannya. Buat masa sekarang, adik Zuhairy Muizz masih tidak kuat untuk berjalan sendiri dan memerlukan alat bantuan seperti kerusi roda. Kesan daripada autisme ini juga membuatkan beliau gelisah apabila berhadapan dengan orang ramai dan lebih suka bersendirian. Sehingga kini, adik Zuhairy Muizz masih memakai lampin pakai buang dan memerlukan susu formula sebagai makanan tambahan. Beliau memerlukan pemantauan yang lebih dalam memastikan keadaan lebih terkawal.
 
Lawatan kebajikan diteruskan dengan menyantuni anak kepada Koperal Mohd Fiqri bin Buang yang berkhidmat di KSOD 41 Woksyop Artileri, Kem Tun Ibrahim, Kajang. Koperal Mohd Fiqri bin Buang telah berkahwin bersama Siti Nor Aisyah binti Md Yusof dan dikurniakan 5 orang cahaya mata.
 
KEBAJIKAN3
 
Anak kepada pasangan tersebut, Adik Nur Ardhania Firha telah disahkan menghidap penyakit Syndrome Apert oleh pihak HUKM melalui imbasan ultra-sound semasa di dalam kandungan. Pada 19 Apr 17, beliau telah dilahirkan di HUKM dan telah ditempatkan di PICU selama dua minggu bagi tujuan pemantauan doktor. Pada 4 Mei 17, pihak HUKM membenarkan beliau untuk pulang ke rumah tetapi memerlukan alat bantuan pernafasan dan alat penyedut cecair. Beliau telah menjalani beberapa pembedahan saluran pernafasan bagi memasukkan tiub di bahagian hidung untuk melancarkan pernafasan. Beliau turut menjalani pembedahan jari bagi tangan kiri dan kanan untuk memisahkan jari-jari yang rapat. Pada 27 Mei 20, Pegawai pakar perubatan telah mengesahkan tempurung kepala beliau mengalami keretakan. Hasil pemeriksaan pegawai pakar perubatan mendapati tempurung kepala beliau menjadi nipis dan memerlukan pembedahan bagi menggantikan tempurung kepala yang melibatkan anggaran kos RM46,800.00. Kini, beliau menjalani rawatan susulan di PPUM bagi memantau perkembangan beliau.
Lawatan diakhiri dengan lawatan ke atas anak kepada Koperal Rozifazni binti Abdul Razak yang berkhidmat di PULNORD, Kem Batu Kentonmen. Koperal Rozifazni binti Abdul Razak telah mendirikan rumah tangga bersama Koperal Muhammad Khairul Halimin bin Rahani dan telah dikurniakan empat orang cahaya mata.
 
Adik Danish Haziq Fahmi telah dilahirkan pada 1 Jan 12. Semasa kelahiran, beliau tidak mengalami sebarang masalah kesihatan dan dilahirkan secara normal dan disahkan sihat oleh doktor. Pada tahun 2019, beliau telah disahkan menghidap penyakit autisme ketika berusia 9 tahun. Perkara ini disedari oleh guru sekolah beliau yang melihat beliau seakan-akan tidak fokus di dalam kelas dan selalu menyendiri. Pada tahun 2020, beliau mendapat Pendidikan di Sekolah Khas Batu 4, Batu Muda. Beliau menunjukkan perkembangan yang positif selepas memasuki sekolah tersebut. Ketika ini, beliau perlu mengikuti temujanji pakar 6 bulan sekali di Hospital Kuala Lumpur.
Setiap waris yang disantuni telah menerima sumbangan dari Tan Sri PTD berbentuk hamper, barangan harian, sumbangan peribadi dan sumbangan dari Tabung Kebajikan TD bagi meringankan beban yang ditanggung oleh anggota.
 
Turut mengiringi lawatan tersebut adalah Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi, Timbalan Panglima Markas Logistik Tentera Darat, Brigedier Jeneral Muhammad Ariff Soo bin Abdullah, Pengarah KOD, Kolonel Mohd Tamam bin Jamioon dan Pegawai Kanan KOD.
 
Siri lawatan kebajikan sebegini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa, bersesuaian dengan salah satu Tonggak Panglima Tentera Darat yang menekankan kebajikan warga TDM serta keluarga mereka.