
Sidang video berkenaan diadakan bertujuan untuk Tan Sri PTD memaklumkan tentang situasi terkini serta menyampaikan pengarahan penugasan terkini berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang sedang melanda beberapa negeri. Untuk sesi kali ini, sidang video turut memberikan penumpuan kepada perincian tugas Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Januari 2021 yang lalu.
Selain itu, sidang video turut berkisar kepada beberapa isu berkaitan pelaksanaan dan status kursus serta latihan melibatkan warga TDM dalam norma baharu. Sidang video juga turut membincangkan keadaan semasa berkaitan pelaksanaan penugasan operasi yang sedang dilaksanakan oleh TDM.

Sidang video ini dilaksanakan berikutan situasi pandemik Covid-19 yang menyebabkan pertemuan secara fizikal tidak dapat dilaksanakan. Justeru itu, sesi seperti ini akan terus dilaksanakan agar selari dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-28 yang memberi penekanan tentang Keutuhan Organisasi.
Hadir sama ketika sedang video di POTD ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, Ketua Staf Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato’ Hj Subari bin Hj Tomo, serta Pegawai-pegawai Kanan Markas Tentera Darat.