
SARAWAK : Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui pasukan-pasukan di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) telah diaturgerak ke kawasan-kawasan yang terjejas banjir di Sarawak sejak 14 Januari 2021 yang lalu.
Kawasan-kawasan yang terjejas banjir pada kali ini adalah akibat fenomena air pasang besar (King Tide) dan hujan lebat yang berterusan selama 4 hari berturut-turut.
Pasukan Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11 RAMD) telah bersama-sama dengan agensi keselamatan yang lain membantu memindahkan mangsa banjir di sekitar kawasan Kuching dan Bau, manakala di kawasan Samarahan, Simunjan dan Serian telah dibantu oleh anggota daripada Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD). Keadaan hujan berterusan mengakibatkan air naik dengan pantas dan anggota ditugaskan membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir menggunakan kenderaan Trak 3 Ton.
Bagi langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kesemua anggota dan kenderaan yang terlibat telah disanitasi setelah selesai penugasan.
Keadaan banjir di Sarawak kian beransur pulih dengan keadaan cuaca bertambah baik dan hanya di kawasan Serian yang masih dibuka pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat jam 8.00 malam 17 Jan 21, seramai 569 orang mangsa daripada 166 buah keluarga di 5 buah PPS di Serian berbanding pada hari Jumaat yang lepas di mana seramai 4,222 orang mangsa membabitkan 1,127 buah keluarga ditempatkan di PPS di seluruh Sarawak.

Pasukan Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) juga turut bersiap sedia di Miri bagi sebarang kemungkinan dalam menghadapi perubahan cuaca yang mungkin mengakibatkan banjir berulang. Tugas membantu pihak berkuasa awam terutama dalam menghadapi banjir dan apa jua bencana alam menjadi antara keutamaan formasi seiring dengan Perintah Ulung PTD ke-28 dalam Tonggak Kelima yang menekankan peningkatan hubungan Tentera Darat dengan Awam, yang sentiasa bersedia membantu rakyat dalam apa jua situasi yang memerlukan.