WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
PBTUJANG6
PORT DICKSON, 10 Februari 2021 – Tentera Darat Malaysia (TDM), kehilangan insan teristimewa apabila Prebet Ujang bin Mormin, 99 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir beliau di Hospital Sungai Buloh, pada 9 Februari 2021 jam 5.05 petang. Kematian Allahyarham disahkan akibat kes positif COVID-19.
 
Allahyarham Prebet Ujang bin Mormin merupakan veteran perang yang pernah berjuang bersama Allahyarham Leftenan Dato’ Adnan bin Saidi ketika menentang pendudukan Jepun. Justeru, mengambilkira peranan yang telah disumbangkan oleh Allahyarham selama berkhidmat di dalam TDM khususnya di dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain telah membuat ketetapan bahawa TDM memberikan penghormatan ketenteraan yang sewajarnya kepada Allahyarham Prebet Ujang bin Mormin.
 
Sebagai tanda penghormatan, jenazah Allahyarham Prebet Ujang bin Mormin telah dikebumikan di Pusara RAMD, Port Dickson. Acara pengebumian tersebut turut dihadiri sendiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain. Pusara RAMD dikhususkan buat veteran perang dari RAMD yang pernah menabur bakti dan berjuang sejak tertubuhnya RAMD dan TDM dahulu.
 
PBTUJANG3
 
Mengambil kira situasi terkini khususnya penularan wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, istiadat penghormatan pengebumian ketenteraan tersebut dilaksanakan dengan norma baharu dan tidak dilaksanakan secara kelazimannya. Urusan pengebumian tersebut telah dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan Perintah Tetap Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan.
 
Di sepanjang pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham Prebet Ujang bin Mormin ini, TDM turut menerima bantuan dan kerjasama sepenuhnya dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melancarkan urusan pengebumian. TDM turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas segala bantuan dan kerjasama dari pihak KKM dalam melancarkan Acara Pengebumian ini.
 
PBTUJANG5Sementara itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, telah turut berkenan mengutuskan Surat Takziah serta Ampun Kurnia Bantuan kepada waris Allahyarham. Turut menzahirkan ucapan takziah ialah KDYMM Tuanku Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Askar Melayu Diraja.
 
Ucapan takziah turut dizahirkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob serta seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebagai tanda keprihatinan, waris Allahyarham, Puan Lailawati binti Jamil yang merupakan cucu saudara beliau turut menerima sumbangan daripada TDM, Yayasan RAMD, Yayasan Veteran ATM di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan Kelab Pegawai RAMD.
 
Hadir sama di sepanjang acara ini ialah Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Dato' Nazari bin Abd Hadi, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mejar Jeneral Dato’ Mohd Sofi bin Md Lepi dan Pengarah Infantri, Brigedier Jeneral Dato' Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri.