
PORT DICKSON, 1 Mac 2021 - Tentera Darat Malaysia (TDM) menginjak ke usia 88 tahun, pada hari ini.
Bagi meraikan tarikh keramat penubuhan TDM itu, Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-88 telah berlangsung di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan. PUSASDA cukup sinonim sebagai tempat tertubuhnya TDM pada tahun 1933, manakala Port Dickson pula merupakan bandar yang diisytiharkan sebagai Bandar Tentera Darat.

Sempena perbarisan kali ini, beberapa pasukan dan individu warga TDM turut diberikan penghargaan di atas kejayaan dan pencapaian masing-masing. Sijil Kecemerlangan Op BENTENG dianugerahkan kepada pasukan Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD), Batalion Keempat Rejimen Sempadan (4 RS) dan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD). Ketiga-tiga pasukan merekodkan kejayaan ketika melaksanakan operasi di sempadan negara.
Tan Sri PTD turut menganugerahkan Sijil Kepujian dan menyematkan Pingat Pekhidmatan Setia (PPS) kepada lapan penerima, di atas pencapaian masing-masing.
Di dalam Perutusan Hari Tentera Darat Ke-88, Tan Sri PTD menyatakan bahawa tema yang dipilih, iaitu Sinergi Tentera Darat Dan Rakyat : Tunjang Kedaulatan Negara adalah selaras dengan konsep "whole of government and whole of society". Konsep ini bersesuaian dengan komitmen TDM yang mengutamakan kerjasama antara TDM dengan pihak kerajaan serta masyarakat.

Tan Sri PTD turut menyatakan bahawa tahun 2021 merupakan tahun pengukuhan bagi TDM. "Bagi merealisasikan asek pengukuhan ini, saya berkehendakkan agar tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan kesiagaan termasuk di dalam aspek keselamatan dan juga di dalam pelaksanaan operasi dan latihan." Tan Sri PTD turut berkehendakkan aspek tadbir urus, sumber manusia dan logistik dilaksanakan dengan perancangan yang rapi.
Hadir sama menyaksikan perbarisan ialah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, Pegawai Kanan TDM berpangkat Mejar Jeneral ke atas yang berkhidmat di Markas Angkatan Tentera Malaysia serta penglibatan minima Pegawai-pegawai Kanan dan Anggota TDM.