WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
LawatanPTD1
SUNGAI BESI, 2 Mac 2021 – Sempena lawatan kerja Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, ke Kem Perdana Sungai Besi, Tan Sri PTD turut berkesempatan untuk menyantuni tiga orang waris pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang mengalami keuzuran.
 
Tan Sri PTD terlebih dahulu berkunjung ke kediaman Koperal Bahaman bin Wahab, anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD). Dua orang anak anggota mengalami keuzuran iaitu adik Adi Faturrahman bin Bahaman, berusia sembilan tahun dan adik Aisy Fathullah bin Bahaman, berusia empat tahun.
 
Adik Faturrahman, dikesan menghidap Penyakit Kurang Upaya Intelektual ketika berusia lima tahun. Kini, adik Faturrahman mengalami masalah untuk bertutur kata dengan baik serta menyukarkan beliau dalam berkomunikasi. Kini beliau perlu menjalani rawatan terapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) (Wad Kanak-Kanak) sebanyak tiga kali sebulan.
 
Sementara itu, adik Fathullah pula dikesan menghidap masalah pembentukan tulang belakang peha dan kaki kecil sejak berusia enam bulan dalam kandungan. Kini, adik Fathullah perlu menjalani rawatan terapi di PPUKM (Wad Kanak-Kanak) sebanyak enam kali sebulan.
 
LawatanPTD2Kunjungan Tan Sri PTD diteruskan ke kediaman Kapten Mohamad Fazli bin Mad Aripin, yang bertugas di 74 Batalion Kor Perkhidmatan Diraja (74 Bn KPD). Anak kedua beliau, adik Muhammad Neil Jabbar bin Mohamad Fazli, berusia satu tahun tiga bulan, dikesan menghidap penyakit Inflammatory Myofibroplastic Tumour (Kanser Neuroblastoma), pada 12 September 2020. Kini, adik Neil Jabbar perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan di Klinik Pediatrik dan Fisioterapi PPUKM bagi membolehkan pihak hospital memantau perkembangan tumbesaran beliau.
 
Di setiap kunjungan ini, Tan Sri PTD berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan berupa bantuan peribadi dan Tabung Kebajikan Tentera Darat serta barangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pegawai dan anggota tersebut.
 
Lawatan kebajikan sebegini akan sentiasa dilaksanakan bagi menyantuni warga TDM yang berdepan masalah. Ia bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28, “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan warga.