
SERI MENANTI, 4 Mac 2021- Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat Komander Rejimen 508 Askar Wataniah bertempat di Istana Seri Menanti yang dizahirkan kepada Yang Amat Mulia Kolonel Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti.
Majlis Pemakaian Pangkat Komander Rejimen 508 Askar Wataniah, Yang Amat Mulia Kolonel Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti yang telah dikurniakan kenaikan pangkat Brigedier Jeneral berkuatkuasa pada 14 Januari 2021. Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan bercemar duli menyempurnakan upacara pemakaian pangkat dengan disaksikan oleh Tan Sri PTD.
Seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) mengucapkan sekalung tahniah kepada Yang Amat Mulia Brigedier Jeneral Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti di atas kenaikan pangkat pada hari ini.

Turut hadir pada majlis ini adalah Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Hj Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus, Yang Berhormat Dato' Dr Razali bin Ab Malik, Ketua Polis Negeri Sembilan Darul Khusus, Deputi Komisioner Polis (DCP) Dato' Mohamad bin Mat Yusop, Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Mejar Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi, Panglima Briged Pertama Infantri (1 Bgd), Brigedier Jeneral Anuar bin Abdul Wahab serta penglibatan minimum pegawai kanan TDM.