
KAJANG, 4 Mac 2021 – Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah binti Haji Mustapha, telah berkesempatan untuk menyantuni enam waris anggota Rejimen Ke-31 Artileri Diraja (31 RAD), Kem Tun Ibrahim, Kajang yang menghidap penyakit kronik.
Kunjungan kebajikan Puan Sri pada kali ini, diadakan secara berpusat di Dewan Kem Tun Ibrahim, dan Puan Sri terlebih dahulu menyantuni adik Muhammad Aqeef Danish, berusia 9 tahun, anak kepada Mejar Zainal Ariff bin Zainal Abidin. Adik Aqeef disahkan menghidap penyakit Pre B Acute Lymphoblastic Leukimia pada 17 Ogos 2018. Sejak itu, adik Aqeef telah menjalani pelbagai rawatan dan pada Januari 2021, doktor mengesahkan adik Aqeef menghidap positif Beta Thelisemia. Kini, adik Aqeef menunggu untuk pemeriksaan susulan.
Puan Sri kemudiannya menyantuni anak bongsu Sarjan Mohd Asri bin Abd Rahman, anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang berkhidmat di 31 RAD. Adik Muhammad Irfan Haziq, berusia 5 tahun, disahkan menghidap penyakit Down Snydrome sejak lahir pada tahun 2017. Selain itu adik Irfan turut mengalami masalah jantung (ASD & VSD) serta pernafasan. Adik Irfan dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) Masalah Pembelanjaran dan kini mengikuti pembelajaran di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Jasmin, Kajang.

Seterusnya, Puan Sri menyantuni anak ketiga Koperal Syafrizal bin Syahril, anggota Kor Ordnan Diraja (KOD) yang berkhidmat di 41 Kumpulan Stor Kor Ordnans DiRaja (41 KSOD). Adik Muhammad Iffat Zikri, berusia 4 tahun, telah disahkan mengalami saluran jantung sempit sejak dilahirkan pada 17 Ogos 2017. Kini, adik Iffat Zikri menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Waris keempat yang disantuni oleh Puan Sri, ialah isteri kepada Koperal Mohd Firdaus bin Abd Rahman, anggota KOD yang berkhidmat di 41 KSOD. Puan Nurul Hafidah disahkan menghidap Barah Payudara Tahap 2 pada tahun 2019, ketika sedang mengandungkan anak yang kelima. Beliau telah menjalani pembedahan payudara dan juga melahirkan anak secara ceaserian pada 23 Januari 2020. Beliau kini menjalani rawatan susulan di Institut Kanser Negara (IKN) Putrajaya.

Kunjungan kebajikan Puan Sri diteruskan dengan menyantuni anak Koperal Mohd Fiqri bin Buang, anggota KOD yang berkhidmat di 41 KSOD. Adik Nur Ardhania Firha, berusia 4 tahun, disahkan menghidap penyakit Apert Sindrome (kelainan genetik yang menyebabkan perkembangan tengkorak tidak normal). Adik Ardhania, telah dikategorikan sebagai OKU, perlu menjalani beberapa siri pembedahan dan rehabilitasi untuk membantu perkembangannya.
Kunjungan kebajikan kali ini diakhiri dengan Puan Sri menyantuni anak Bombadier Arwan bin Shaari. Adik Nur Qistina Damia, berusia 11 tahun, disahkan menghidap penyakit Jantung Berlubang pada tahun 2012. Kini, berlanjutan dari komplikasi kesihatan yang dihadapinya, adik Qistina mengalami masalah di kepala dan gigi yang agak serius.
Di dalam setiap kunjungan ini, Puan Sri juga telah menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh anggota terbabit. Kunjungan kebajikan sebegini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi menyantuni ahli-ahli BAKAT Darat yang mengalami masalah kesihatan yang kronik. Ianya adalah sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke–28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang amat menitikberatkan aspek kebajikan warga Tentera Darat Malaysia.