
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, bersama-sama 216 pegawai dan anggota, merupakan Kumpulan Pertama Staf MK TD, yang menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan. Program vaksinasi bagi Staf MK TD dilaksanakan bermula pada hari ini sehingga 19 Mac 2021.
Sementara itu, Program Vaksinasi COVID-19 Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi Fasa 1B, menyasarkan kepada 26,525 penerima dalam kalangan warga TDM di seluruh negara, khususnya anggota yang terlibat dalam operasi dan bertugas di dalam Zon Merah. Program Vaksinasi bagi fasa ini dilaksanakan secara serentak di fasiliti-fasiliti Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) TDM di seluruh negara.
Program Vaksinasi COVID-19 TDM ini merupakan sebahagian usaha TDM dalam mendokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertujuan agar imuniti kelompok dapat dibentuk dalam kalangan komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.