
MENTAKAB, 9 Mac 2021 – Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah binti Haji Mustapha, telah berkesempatan untuk menyantuni waris anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertugas di Briged Keempat Infantri Mekanize (4 Bgd Mek), yang menghidapi penyakit kritikal dan masalah kesihatan.
Seramai 32 orang waris anggota, yang terdiri daripada isteri dan anak anggota yang menghidapi penyakit kritikal dan Orang Kurang Upaya (OKU), diraikan bersama Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat. Majlis istimewa ini dilangsungkan di Dewan Adnan, Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja Mekanize (7 RRD (Mek), turut menghimpunkan keseluruhan ahli-ahli BAKAT di bawah 4 Bgd Mek.
Di dalam majlis ini, Puan Sri turut menyampaikan sumbangan tanda keprihatinan warga BAKAT Darat kepada mereka yang diraikan.

Kunjungan kebajikan sebegini akan terus dilaksanakan pada masa hadapan bagi menyantuni ahli-ahli BAKAT Darat serta anak-anak yang mengalami masalah kesihatan yang kronik, sakit kritikal dan OKU. Ianya adalah sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke–28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang amat menitikberatkan aspek kebajikan warga TDM.
Hadir sama dalam majlis ini adalah Timbalan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Ramlah binti Dawi, Naib Pengerusi 1 Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Hartiah binti Hamzah, Naib Pengerusi 2 Jemaah Tertinggi BAKAT Darat, Datin Sdafra' binti Hj Ahmad, Pengerusi BAKAT 3 Divisyen, Datin Haslinda binti Mohd Ali, serta ahli-ahli BAKAT.