
KUALA LUMPUR, 30 Mac 2021 – “Wanita Waja: Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”, begitulah tema yang dipilih sempena Sambutan Hari Wanita Tentera Darat Ke-56 Tahun 2021, yang diraikan di Auditorium Kementerian Pertahanan, hari ini.
Majlis bertambah meriah apabila Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, turut berkesempatan untuk meluangkan masa meraikan hari istimewa srikandi Tentera Darat Malaysia (TDM) ini.
Ketibaan Tan Sri PTD, yang diiringi Asisten Ketua Staf Cawangan Sumber Manusia, Mejar Jeneral Dato' Mohd Sofi bin Md Lepi selaku Penasihat Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD), telah disambut oleh Pengerusi JKHEWTD, Lt Kol Maslina binti Abu Said bersama barisan Ahli Jawatankuasanya.
Tan Sri PTD di dalam ucapan perasmian, turut menyentuh berkenaan langkah-langkah memperkasakan peranan Wanita TDM. Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada Pengarah-Pengarah Kor dan Rejimen untuk memberikan tumpuan khusus kepada perancangan laluan kerjaya Wanita TDM. Hal ini bagi membolehkan Wanita TDM dapat meningkat ke jawatan yang lebih tinggi serta meningkatkan daya saing mereka. Ketika ini pangkat tertinggi yang disandang oleh Wanita TDM dalam tugas am adalah pangkat Kolonel.

Sempena sambutan hari istimewa ini juga, dua orang srikandi yang telah mengharumkan nama TDM telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan. Kedua-dua srikandi ini menerima ‘Pisau Tentera Darat’, yang dianugerahkan kepada individu yang merekodkan pencapaian cemerlang serta luar biasa semasa perkhidmatannya. Selain itu, mereka turut menerima Sijil Kepujian Ketua Perkhidmatan dan hadiah wang tunai.
Penerima pertama adalah Mejar Noorsyahiddawati binti Abdullah Sani, pegawai wanita Kor Polis Tentera Diraja. Beliau merupakan bekas Pesilat Negara dan diiktiraf sebagai pegawai wanita pertama menerima Anugerah Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (MSAT) pada Tahun 2019 dengan penganugerahan Pingat Perak. Beliau turut berjaya mengharumkan nama Negara apabila memenangi pingat emas di dalam Pertandingan Pencak Silat Asia Pasific Masters Games Tahun 2019 dalam Kategori Ganda Putri.
Penerima kedua pula adalah Koperal Nurul Farhanah binti Johari, anggota Wanita Kor Perkhidmatan Am (Bahagian Kerani). Beliau merupakan ahli Tim Angkat Berat Wanita Angkatan Tentera Malaysia yang berjaya memenangi tiga pingat emas dan turut memecahkan rekod kebangsaan ketika bertanding di dalam Kejohanan Sukan Asian Championship Kazakhstan pada tahun 2019.

Tan Sri PTD dan seluruh warga TDM mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada seluruh srikandi TDM. Kepada Mejar Noorsyahiddawati dan Koperal Nurul Farhanah, sekalung tahniah diucapkan di atas kejayaan yang dicapai.