WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia
Ramdhan1
KUALA LUMPUR,16 April 2021- Aktiviti kerohanian dalam kalangan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi Ramadan 1422H/2021, membuka tirai dengan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Tentera Darat yang diadakan di Masjid Angkatan Tentera, Kem Perdana Sungai Besi.
 
Majlis yang turut diserikan dengan kehadiran Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, turut bertujuan untuk mengekalkan keakraban dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga TDM.
 
Tan Sri PTD bersama-sama warga TDM yang hadir, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih yang dipimpin oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat, Kolonel Haji Mohd Rashidi bin Bujai.
 
Sempena majlis ini turut diadakan penyampaian sumbangan kepada penerima dari kalangan asnaf, anak yatim serta balu anggota TDM.
 
Terlebih dahulu Tan Sri PTD menyampaikan sumbangan Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 10 orang penerima, terdiri daripada enam orang asnaf dari kalangan warga TDM dan empat orang anak-anak yatim dari Sekolah Tahfiz Anak Yatim (STAY) ATM. Setiap penerima menerima wang tunai berjumlah RM200.00.
 
Tan Sri PTD seterusnya menyampaikan sumbangan Sinar Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) kepada dua orang balu anggota TDM yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Penerima tersebut iaitu Puan Nur Farrah Adillah binti Meor Zaini balu kepada Allahyarham LKpl Mohamad Fazril bin Amiruddin dan Puan Liana binti Jamil balu kepada Allahyarham Kpl Sayidin bin Luat, yang menerima sumbangan wang tunai RM200.00 selama 4 bulan bagi setiap orang anak.
 
Sementara itu, 15 orang anggota TDM turut menerima Bantuan Musa'adah ATM. Setiap penerima menerima wang tunai RM100.00 dan barangan keperluan asas bernilai RM100.00. Sumbangan ini disalurkan kepada yang memerlukan agar dapat membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung.
 
Ramdhan2
 
Demi mengimarahkan syiar Islam melalui peningkatan pelaksanaan aktiviti- aktiviti keagamaan, Tan Sri PTD turut menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau di bawah kendalian TDM. Sejumlah RM105,500.00 diperuntukkan kepada enam formasi iaitu Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Markas Tentera Darat, Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Pemerintahan LogistikTentera Darat, Gerup Gerak Khas dan Markas 10 Briged (Para).
 
Tan Sri PTD di dalam ucapannya menasihati semua peringkat pegawai dan anggota TDM agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Kesedaran semua pihak amatlah perlu bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dari terus meningkat. Beliau turut menyeru agar semua warga TDM berdoa supaya keadaan penularan wabak COVID-19 ini akan bertambah baik. Di akhir ucapannya, Tan Sri PTD turut mendoakan agar seluruh warga TDM dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan ini dengan lebih sempurna dan disyukuri.
 
Turut hadir ke majlis ini ialah Puan Sri Datin Zainuriah binti Hj Mustafa, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Mohammad bin Ab Rahman dan isteri, Datin Ramlah binti Dawi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Datin Hartiah binti Hamzah, serta penglibatan minima Pegawai-Pegawai Kanan dan anggota TDM.
 
Pelaksanaan majlis ini adalah selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke - 28 iaitu “Keutuhan Organisasi”, yang memberikan penekanan kepada kesepaduan dan kebersamaan. Manakala penyerahan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, amat bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke – 28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang memfokuskan kepada aspek kebajikan warga.