WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

 

KUALA LUMPUR, 11 Jun 20 – Majlis Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat (PTD) telah diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan di antara Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Haji Ahmad Hasbullah bin Haji Mohd Nawawi dan Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain dengan disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM.

 

Terdahulu, dilaksanakan majlis pemakaian pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral kepada Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain yang telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan dan isteri Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain, Datin Zainuriah binti Haji Mustapha serta disaksikan oleh PAT dan Panglima-panglima Perkhidmatan. Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain dinaikkan pangkat berkuatkuasa pada 11 Jun 2020 dan menjawat jawatan sebagai PTD Ke-28.

 

Jeneral Datuk Zamrose Bin Mohd Zain dilahirkan pada 22 September 1962, di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1980, dan seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 24 Januari 1981. Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) merupakan unit pertama perkhidmatan beliau di alam ketenteraan. Di sepanjang 39 tahun usia perkhidmatannya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) dan jawatan terakhir beliau sebelum ini adalah Panglima Medan Timur Tentera Darat. Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Zainuriah binti Haji Mustapha dan dikurniakan lima orang cahaya mata perempuan dan seorang lelaki. Pada hari bersejarah ini, tanggal 11 Jun 2020, beliau telah menjawat jawatan sebagai PTD Ke-28.

 

Bagi PTD Ke-27, Jen Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Kerjaya ketenteraannya bermula dengan mengikuti latihan Pegawai Kadet dan telah dipilih mengikuti latihan di Officer Cadet School, Portsea, Australia. Beliau telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Disember 1981 sebagai Ketua Platun dan berkhidmat di Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD). Sepanjang perkhidmatan selama 40 tahun 2 bulan di dalam TDM, Jen Tan Sri Hasbullah telah menyandang pelbagai jawatan penting. Beliau turut berpengalaman terlibat secara langsung memerangi ancaman komunis serta melaksanakan tugas-tugas pemerintahan, staf dan jurulatih. Beliau telah dianugerahkan tiga orang cahaya mata bersama isteri, Puan Sri Datin Seri Noor Akmar binti Yaacob. Mula menyandang jawatan PTD pada 3 September 2018 sehingga 11 Jun 2020 dan seterusnya akan menjalani kursus peralihan sebelum bersara wajib pada bulan November 2020.

 

Kemuncak ketokohan dan kepimpinan beliau adalah ketika menjadi Ketua Peneraju OP PENAWAR pada awal tahun 2020 di dalam membantu kerajaan menangani isu COVID-19. Kepercayaan yang diberikan oleh tampuk kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibalas dengan cemerlang apabila kerjasama ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam menangani wabak COVID-19 dilaksanakan dengan jayanya serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Beliau merupakan Panglima yang sangat menonjol semasa negara memerangi pandemik ini sehingga diberi gelaran ‘Panglima COVID’ oleh Menteri Kanan Pertahanan. Beliau turut memperkenalkan slogan “Stay Healthy and Protect Yourself” kepada semua untuk sama-sama menjaga diri bagi memutuskan rangkaian wabak ini. Peneraju OP PENAWAR Covid-19 akan diteruskan oleh PTD Ke-28, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain.

 

Menteri Kanan Pertahanan dan Kementerian Pertahanan serta PAT dan ATM mengalu-alukan PTD Ke-28, Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain untuk menerajui kepimpinan TDM yang bermula pada 11 Jun 2020. Sekalung penghargaan juga dizahirkan kepada PTD Ke-27, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah bin Hj Mohd Nawawi di atas segala sumbangan dan jasa bakti beliau di sepanjang perkhidmatan di dalam ATM amnya dan TDM khasnya.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ikmal Hisham Bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Muez Bin Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Bin Mohd Sany, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato' Ashgar Khas bin Goriman Khan TUDM, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Pegawai-pegawai Kanan TDM.