WAWASAN KAMI ADALAH
Satu Angkatan Tentera Darat yang moden, kredibel, seimbang, mampu dan bersedia melaksanakan misinya sebahagian daripada Angkatan Tentera Malaysia
MISI KAMI ADALAH
Mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingannya daripada ancaman luar serta membantu pihak berkuasa awam untuk mencapai keamanan dan kemakmuran negara
MATLAMAT KAMI ADALAH
Menentukan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi (multi mission capable) bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara
KAMI TETAP GAGAH TETAP SETIA
Kami yakin dan percaya yang Tentera Darat Malaysia adalah sebuah ketampukan yang Gagah dan Setia walau dalam apa jua keadaan. Taat setia kami tidak akan berbelah bagi terhadap Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan Negara
TENTERA DARAT SATU KERANA BERSATU
Sertai Kami Tentera Darat Malaysia

PM191 4

PORT DICKSON, 4 Julai 20 - Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 191/19 telah berlangsung di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson dan disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Zamrose bin Mohd Zain.

Seramai 1,782 orang Perajurit Muda (PM) Tentera Darat Malaysia (TDM) yang menjalani latihan asas ketenteraan di PUSASDA selama enam bulan mulai 22 November 2019 hingga 24 Mei 2020 telah berjaya menamatkan latihan asas bagi pengambilan pada kali ini. Perbarisan tamat latihan yang dijadualkan pada bulan Mei lalu terpaksa ditunda kepada bulan Julai. Ini berikutan berlakunya penularan Virus Corona (COVID-19) yang melanda negara dan dunia, diikuti tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 20 yang menghadkan aktiviti yang memerlukan penglibatan individu dalam skala besar.

Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda kali ini dilaksanakan sedikit berbeza daripada apa yang dilaksanakan sebelum ini sejajar dengan pengarahan normal baharu dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh kerajaan. Perbarisan kali ini dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh berbanding biasa. Keunikan perbarisan pada kali ini adalah perbarisan dibahagikan kepada dua sesi. Buat pertama kalinya, setiap anggota perbarisan memakai penutup mulut yang seragam bercorak celoreng. Acara ini turut dilaksanakan dengan penglibatan minima pihak TDM serta tidak melibatkan kehadiran ibu, bapa dan ahli keluarga para Perajurit Muda sepertimana kebiasaan.

Para Perajurit Muda dan tetamu tentera yang hadir dikehendaki menggunakan hand sanitizer, menjalani saringan suhu serta mengamalkan penjarakan 1 meter. Meskipun tanpa kehadiran ahli keluarga, PTD berpeluang mengucapkan tahniah kepada beberapa ibu bapa Perajurit Muda melalui Sidang Video yang telah diatur.

PM191 7

Terdahulu, PTD telah diberi penghormatan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada 3 pegawai serta 103 anggota Lain-Lain Pangkat diketuai oleh Mej Abdul Hafizi bin Abdul Halim serta diiringi Pancaragam Pusat RAMD (PP RAMD).

Turut hadir adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari bin Abd Hadi serta Pegawai-Pegawai Kanan TD.